Datuk Dzulkifli Abd Wahab, Pengerusi dan Mohd Nazrul Izam Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad bergambar di dalam Kedai FGV bergerak.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) melancarkan projek perintis Kedai FGV bergerak di operasi perladangan di Sampadi, Sarawak bagi tujuan kemudahan pekerja ladangnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, kedai-kedai runcit di ladang FGV di Sampadi agak jauh dari tempat tinggal pekerja, mendorong FGV mewujudkan Kedai FGV bergerak ini.

Dengan adanya Kedai FGV, pekerja ladang boleh terus menikmati bekalan bahan mentah segar untuk keperluan harian mereka dengan lebih mudah dan pada harga yang berpatutan.

Bagi melancarkan lagi perjalanan Kedai FGV bergerak, Pejabat Wilayah FGV akan menguruskan segala keperluan berkaitan seperti penyediaan pekerja bagi membawa kenderaan, pembekalan bahan mentah dan keperluan harian serta aspek penyelenggaraan operasi tersebut.

Selaras dengan usaha FGV untuk menyokong inisiatif kerajaan ke arah transaksi tanpa tunai, semua urusan pembelian dan pembayaran di Kedai Bergerak FGV dijalankan melalui sistem e-dompet FGV yang telah diperkenalkan sejak 2020.

“Menerusi penggunaan e-dompet ini, pekerja ladang terutamanya pekerja migran dapat menguruskan kewangan mereka secara lebih efisien,” jelas Mohd Nazrul.

Selain transaksi tanpa tunai, aplikasi ini membolehkan pekerja migran melakukan pengiriman wang kepada ahli keluarga mereka di negara asal, membeli prabayar mudah alih dan mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin juruwang automatik (ATM) yang berdaftar dengan Visa, atau melalui peniaga berdaftar.

Pekerja juga boleh menyalurkan sebarang rungutan atau aduan melalui aplikasi tersebut.

Selain Kedai FGV bergerak, aplikasi sama boleh digunapakai di kedai-kedai FGV lain di semua operasi perladangan FGV di seluruh negara.

“FGV kini mencapai 100 peratus pelaksanaan urusan pembayaran gaji serta transaksi harian pekerja ladang kami melalui e-dompet FGV. Kemajuan ini memanfaatkan seramai 23,716 pekerja ladang kami di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” ujar Mohd Nazrul. – MalaysiaGazette