Foto: Bomba

SHAH ALAM – Longkang tersumbat menjadi punca air bertakung di beberapa kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, berikutan hujan lebat sejak 4 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, keadaan paras air yang naik itu bagaimanapun mulai surut kira-kira 5 petang tadi.

“Tiada laporan (banjir) yang diterima, pihak Bomba dan Penyelamat Shah Alam juga turun ke lokasi berisiko tinggi untuk banjir bagi meninjau. Setakat ini tiada laporan pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Berdasarkan tinjauan Bernama, keadaan terkini setakat 6 petang, keadaan rumah bersebelahan Sungai Klang di Jalan Masyhur 25/50 Taman Sri Muda Seksyen 25, di sini, terkawal dan tiada siren amaran banjir kedengaran selepas hujan sejak 4 petang hingga kini.

Antara jalan utama seperti Persiaran Budiman serta Bulatan Budiman berhampiran kawasan jambatan di Taman Sri Muda Seksyen 25 yang terkesan teruk akibat banjir pada 19 Disember lepas masih dapat dilalui oleh kenderaan dan pihak polis kelihatan melakukan rondaan bagi memastikan keadaan selamat serta terkawal.

Beberapa penduduk Taman Sri Muda juga kelihatan mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan kenderaan mereka di atas jambatan tersebut.

Mengikut statistik polis, banjir yang bermula 18 Disember lepas merekodkan jumlah kematian tertinggi di Selangor iaitu 25 orang termasuk 12 orang di Taman Sri Muda. – Bernama