Mikel Justin Cagurangan Baas.

KUALA LUMPUR – Melaka United terus memperkuatkan pasukan musim ini apabila memilih pemain sayap dari Ghana, Emmanuel Oti Essigba dan pertahanan kebangsaan Filipina, Mikel Justin Cagurangan Baas.

Oti yang beraksi di pentas saingan J1 League musim lalu pernah menyertai beberapa kelab sekitar Eropah termasuk Braga B dan FC Vizela (Portugal) serta Esbjerg fB (Denmark).

Malah dia juga menyarung jersi skuad Madura United di Liga 1 Indonesia 2020 sekali gus bakal mempertajamkan barisan depan skuad berkenaan.

MUFC dalam kenyataannya menjelaskan Justin Baas yang berhijrah dari kelab United City FC, Filipina pula antara produk dari akademi kelab Belanda, AZ Alkmaar dan pernah beraksi di Divisyen Dua Belanda bersama Jong AZ dari 2018 hingga 2020 sebelum bermain di Thai League 1 bersama Ratchaburi Mitr Phol.

Pemain kacukan Belanda-Filipina terbabit bakal berganding bersama tiga pemain tempatan yang sah menyertai MU membabitkan Ahmad Haziq Puad, 28, Muhammad Fauzan Fauzi, 27 di posisi pertahanan dan Muhammad Fadhil Idris, 25 sebagai pemain tengah.

Ahmad Haziq, bekas pemain Felda United juga pernah beraksi bersama Sime Darby, UiTM dan Kelantan sementara Fauzan Fauzi turut memiliki pengalaman membarisi pasukan Negeri Sembilan dan PDRM FC.

Fadhil Idris berpengalaman menyertai PKNP FC pada 2016 hingga 2019, Felda United FC (2020) dan Penang FC musim lalu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat berkata, dia amat gembira selepas Sony Norde dan Adriano Narcizo dari Brazil serta 10 pemain tempatan yang lain memutuskan untuk kekal bersama pasukan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast