Tiga maut dan empat parah selepas dua buah kenderaan bergesel dan terbakar di Tanah Putih, Kuantan, Pahang malam tadi.

KUANTAN – Tiga maut dan empat parah selepas dua buah kenderaan bergesel dan terbakar di Tanah Putih di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata,  dua meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi semasa dalam perjalanan ke hospital.

Empat mangsa yang parah juga dikejarkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi mendapatkan rawatan.

Dalam insiden 11.30 malam tadi, katanya, kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga dan Proton Iswara di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan u, Batu 3, Tanah Putih.

“Siasatan awal dapati pemandu Proton Iswara dari arah Gambang hendak menghala ke Kuantan. Setibanya di lokasi kejadian ketika pemandu sedang bergerak lurus dan tiba-tiba telah hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah Proto Saga di sebelah kiri laluan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Wan Mohd Zahari, akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri dan menyebabkan kenderaan itu terbakar.

Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu Proton Iswara yang gagal mengawal kenderaan.

Manakala hasil semakan Saman Cops mendapati pemandu Proton Saga mendapati ada 13 rekod kesalahan pandu laju.

Wan Mohd Zahari berkata, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette