nasi kandar Ipoh helicopter Ebit Lew sexual harassment Abd Jalil Hassan CCID commercial crime online gambling syndicates Op Dadu Khas
Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan berhubung posting yang dimuat naik pada 3 Januari lalu oleh pemilik akaun Facebook, Fahmi Reza yang menyunting imej seakan jata negeri Pahang dengan perkataan ‘house of balak’.

Hantaran itu dikesan polis dan boleh diakses di pautan https://m.facebook.com/kuasasiswa/posts/4747906615244735

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan ke atas suspek dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut.

“Siasatan turut diteruskan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Berhubung siasatan posting jelik terhadap jata negeri Pahang itu, tengahari tadi (25 Januari 2022) suspek (Fahmi Redza) telah dipanggil ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman bagi membantu siasatan,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu beliau menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan maklumat yang boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” ujarnya.

Sementara itu, Fahmi dilihat telah hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan berkaitan isu tersebut pada pukul 12 tengah hari. – MalaysiaGazette