Sunday, December 8, 2024
Home Ekonomi Kenaikan harga barang berlaku di seluruh dunia – Mustapa

Kenaikan harga barang berlaku di seluruh dunia – Mustapa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
PUTRAJAYA – Isu kenaikan harga barang merupakan fenomena global yang dialami kebanyakan negara akibat gangguan rantaian bekalan dan kos tenaga yang meningkat secara mendadak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia dapat dilihatkan daripada kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) sebanyak tujuh peratus iaitu tertinggi dalam tempoh 39 tahun selain kadar enam peratus dicatatkan negara Eropah lain.
Menurut beliau, Malaysia mencatat kenaikan kadar inflasi sebanyak 3.2 peratus pada Disember 2021 berbanding tempoh sama pada 2020.
“Isu kenaikan harga barang bukan mudah untuk ditangani namun yang penting kerajaan akan bersungguh-sungguh bagi meredakan kadar inflasi di negara ini.
“Ia dilaksanakan oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan perdana menteri,” katanya selepas majlis pelancaran logo baharu dan buku-buku oleh Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB), di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Disember 2021 meningkat 3.2 peratus kepada 124.5 berbanding 120.6 dalam bulan sama pada tahun sebelumnya berikutan kenaikan harga makanan dan bahan api.

Jabatan itu berkata, kenaikan tersebut melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga 2021 iaitu 1.9 peratus.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, NACCOL telah mengadakan mesyuarat sebelum ini bagi memperincikan langkah menyeluruh dan bersepadu dalam usaha kerajaan menangani serta mengawal kenaikan harga barang keperluan dan kos sara hidup rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast