Datuk Jaseni Maidinsa

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) telah mula melaksanakan tindakan pemulihan jangka pendek menangani aduan tekanan air rendah di beberapa kawasan perumahan di Seberang Perai Selatan (SPS).

Antara kawasan terlibat membabitkan Residensi Merbok, Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Sungai Duri dan kawasan berhampiran.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kebanyakan penduduk yang terjejas mengalami tekanan air rendah pada waktu puncak apabila permintaan tinggi.

Selain itu, antara punca lain yang dikenal pasti termasuk premis kediaman yang terjejas terletak di kawasan tanah tinggi dan hujung saluran paip di mana tekanan air berada pada tahap terendah.

“Bagi menyelesaikan masalah penduduk di kawasan itu tindakah jangka pendek diambil dengan mengkonfigurasikan semula rangkaian bekalan air sedia ada untuk memastikan tekanan air yang baik dan konsisten serta menghubungkan paip-paip mati di lokasi strategik bagi memastikan tekanan agihan air yang baik.

“Kita juga menempatkan kakitangan PBAPP secara bergilir-gilir dari semasa ke semasa di rumah pam di kawasan terjejas untuk memantau tekanan air dan meletakkan lori tangki air dalam keadaan siap sedia untuk digunakan apabila perakam tekanan PBAPP mengesan gangguan bekalan air lebih 24 jam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Jaseni, bagi penyelesaian jangka panjang pihaknya kini merancang melaksanakan beberapa projek rawatan air agar lebih banyak air terawat dihasilkan untuk ada masa hadapan seiring dengan peningkatan aktiviti sosio ekonomi di SPS.

Jelas beliau, potensi hasil projek rawatan air yang dicadangkan ini diunjurkan 569 juta liter sehari (JLH) membabitkan lima Loji Rawatan Air (LRA).

“Memandangkan beberapa projek tertakluk kepada kelulusan, butiran teknikal dan spesifikasi akan diumumkan kemudian.

“PBAPP juga perlu menaik taraf sumber pengepamannya dan memasang/mengganti saluran paip utama dari LRA Sungai Dua ke kawasan SPS untuk menyalurkan lebih banyak air terawat pada tekanan yang sesuai ke semua kawasan di SPS pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Jaseni menegaskan, PBAPP ingin mendapatkan kerjasama pengguna air yang terjejas di SPS untuk mengurangkan insiden tekanan rendah.

“Sila maklum bahawa pemasangan tangki simpanan air di premis adalah keperluan mandatori di bawah Seksyen 46 Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Semua pengguna air di Pulau Pinang harus menyelenggara tangki air mereka dengan betul untuk mengelakkan isu tekanan air rendah.

“Jika gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di kawasan anda, tangki air anda harus mengandungi air yang mencukupi untuk kegunaan anda dalam tempoh 24 jam,” kata Jaseni. – MalaysiaGazette