M. Saravanan.

Ke hadapan Yang Berhormat Datuk Seri,

Mohon justifikasi Kemnterian Sumber Manusia berkaitan permohonan kerajaan minta hanya 25 agensi di Bangladesh bagi kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

Dengan segala hormatnya kami merujuk kepada perkara di atas.

Kami, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) sebuah pertubuhan yang telah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan Malaysia 1966 yang dibina atas dasar ingin membantu menegakkan hak-hak kemanusiaan yang bertepatan dengan Perkara 3 ‘Universal Declaration of Human Rights’ (UDHR) di mana ia menekankan bahawa semua orang mempunyai hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan diri.

Seperti sedia maklum, sebelum ini Datuk Seri telah menyatakan bahawa Kabinet pada awal Disember lalu telah bersetuju untuk menandatangani suatu memorandum persefahaman (MoU) bersama Bangladesh untuk pengambilan pekerja warga asing untuk bekerja di Malaysia berkuat kuasa selama lima tahun sehingga Disember 2026.

Susulan daripada MoU tersebut pihak kerajaan Malaysia juga telah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Bangladesh supaya hanya 25 Agensi Pengambilan Pekerja Bangladesh (BRA) dan 250 sub-ejen dibenarkan menghantar pekerja mereka ke negara ini.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Bangladesh telah menolak permohonan kerajaan Malaysia tersebut dan kekal dengan pendirian mereka dengan menyatakan bahawa peluang bagi pengambilan tersebut adalah terbuka kepada semua BRA berlesen yang sah.

Berdasarkan MoU tersebut Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia hendaklah memilih BRA secara automatik melalui sistem dalam talian daripada senarai yang disediakan oleh kerajaan Bangladesh, dan kerajaan Malaysia hendaklah memastikan ketelusan dan keadilan dalam pemilihan dan pengagihan kuota.

Justeru itu, MHO ingin membuat persoalan terbuka kepada pihak Datuk Seri apakah justifikasi dan kewajaran daripada permintaan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia terhadap Kerajaan Bangladesh tersebut? Memandangkan mengikut kebiasaan sebelumnya perlantikan agensi adalah dibuat secara terbuka bagi mengelakkan sebarang bentuk monopoli dan sindiket.

Persoalan berikut ialah apakah mekanisma dan kaedah pemilihan 25 agensi tersebut dan apakah agensi tersebut mempunyai trek rekod yang memuaskan berdasarkan data di Malaysia?

Sehubungan dengan itu juga, Pihak MHO ingin menggesa dan mencadangkan kepada pihak Kerajaan Malaysia khususnya kepada Kementerian Sumber Manusia supaya nama 20 Agensi Pengambilan Pekerja Bangladesh (BRA) dan 250 sub-ejen tersebut dimaklumkan secara umum dalam mengekalkan ketelusan serta keadilan agar tidak wujud unsur monopoli daripada pihak-pihak yang berkepentingan.

Kami begitu berharap justifikasi yang Datuk Seri beri ini dapat menjawab pelbagai persoalan selain sangat berharap pada masa sama ada tindakan pantas dari pihak kerajaan dalam isu ini.

Sekian, terima kasih

Datuk Hishamuddin Hashim
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO)