Keadaan tanah mendap yang berlaku semalam di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2022.

SERI KEMBANGAN – Tebing longkang yang mendap disusuli runtuhan tanah di Jalan LP 1A/2, Jalan Lestari Perdana di sini semalam berpotensi menyebabkan berlaku runtuhan susulan selepas ini.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, ia adalah hasil laporan awal  pihaknya menerusi pemantauan serta siasatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Ini kerana, terdapat pergerakan tanah secara aktif masih berlaku di kawasan kejadian tersebut.

Bagi langkah keselamatan, Johary berkata, kontraktor yang dilantik MBSJ sudah memulakan kerja-kerja pemasangan 150 batang cerucuk besi di tempat pemendapan tanah sejak malam tadi.

”Kita menyegerakan langkah memasang cerucuk besi di tebing runtuhan bagi menghentikan pergerakan serta runtuhan tanah susulan serta kerja-kerja penambahbaikan giat dilaksanakan ketika ini,” katanya ketika ditemui di lokasi runtuhan hari ini.

Susulan itu, 17 premis perniagaan di kawasan berhampiran tempat kejadian diarahkan menghentikan aktiviti untuk sementara waktu demi keselamatan mereka.

Johary Anuar

Dalam pada itu, tinjauan MalaysiaGazette di lokasi kejadian mendapati polis telah memasang pita kuning larangan melintas kepada orang awam.

Pasukan Bomba dan Penyelamat turut turun memulakan operasinya di tempat kejadian itu.

Kakitangan Jbatan Mineral dan Geosains Malaysia pula dilihat melakukan kajian menyeluruh termasuk pengambilan sampel tanah untuk mencari punca kejadian pemendapan tanah itu.

Beberapa buah kenderaan rosak akibat tanah mendap yang berlaku semalam di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2022.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 petang semalam, sebanyak lima kereta yang diletakkan di hadapan bengkel deretan bangunan kedai di Lestari Perdana berhampiran tebing longkang rosak selepas terjunam bersama runtuhan tanah tebing longkang itu.

Sebanyak lapan kenderaan berjaya dialihkan orang awam yang berada di lokasi namun lima kenderaan lain gagal diselamatkan disebabkan rekahan jalan dan pemendapan berlaku terlalu pantas semasa hujan lebat.

Kejadian tanah mendap yang berlaku di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana dekat sini semalam merupakan kali ke dua berlaku di sekitar kawasan tersebut.

Johary berkata, kejadian seumpamanya pernah berlaku pada tahun 2017 berhampiran lokasi yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast