The Kuala Lumpur Court Complex Bella Siti Bainun Rumah Bonda abuse neglect Down Syndrome Securities Commission Malaysia SC Investment banker Charles Chua Yi Fuan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat kejuruteraan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu pemegang amanah bagi pegangan saham syarikat terbabit bagi pembaharuan lesen SWEC kontraktor Bumiputera daripada Petronas.

Tertuduh, Mohd Yusof Ab Rahman, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozana Ayob.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 26 April 2018 di Tingkat 17, Tower 1, Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, melalui Wan Suet Yin, secara penipuan telah menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Pulangan Tahunan Syarikat Modal Saham Aker Engineering Malaysia Sdn Bhd Tahun 2017 bertarikh 19 Mei 2017.

Laporan itu dilampirkan sebagai dokumen sokongan yang menyatakan bahawa tertuduh bukan penama atau pemegang amanah bagi pegangan saham dalam syarikat Aker Engineering Malaysia Sdn Bhd bagi Permohonan Pembaharuan Lesen SWEC melalui Enterprise Buyer Portal.

Pertuduhan terhadap Mohd Yusof dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Low Chin How menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat.

Peguam, S.Devanandan bagaimanapun tidak membantah jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Selepas mempertimbangkan permohonan pendakwaraya dan pembelaan, Hakim Rozana membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserah kepada mahkamah.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah menetapkan 23 Februari ini bagi tarikh sebutan kes tersebut. – MalaysiaGazette