Ribuan pengguna jalan raya terperangkap di tengah-tengah salji tebal di Athens. foto Reuters

ATHEN – Beribu-ribu pemandu yang terkandas di lebuh raya di sekitar ibu kota Greece telah diselamatkan selepas ribut salji teruk melanda wilayah Mediterranean.

Lebih 3,500 orang diselamatkan pada hari Isnin, tetapi kira-kira 300 pemandu kekal di lebuh raya Attiki Odos semalaman.

Sebahagian daripada Athens juga terjejas akibat gangguan bekalan elektrik dan pengendali grid berusaha memulihkan tenaga elektrik.

Pihak berkuasa berkata, ribut Elpida diramal berterusan sehingga Rabu.

Suhu semalaman menjunam hingga -14C.

Jurucakap kerajaan, Giannis Oikonomou memberitahu pemberita, negara ini kekal “dalam fasa yang sangat sukar, kerana ramalan menunjukkan Greece akan menghadapi kesukaran sekali lagi”.

Menteri Alam Sekitar Christos Stylianides  menyalahkan syarikat pengurusan lebuh raya atas kekecohan itu, mengatakan pihak tersebut “gagal mengekalkan keadaan trafik biasa walaupun sebelum ini berjanji akan mengambil langkah yang mencukupi untuk berbuat demikian”.

Sementara itu, pegawai di Athens mengisytiharkan hari Selasa sebagai cuti umum, dengan pejabat awam dan semua perniagaan swasta di bandar itu ditutup, kecuali pasar raya, farmasi dan stesen minyak.

Kereta persendirian juga telah digesa untuk menjauhi jalan raya.

Acropolis ikonik bandar itu telah diselubungi salji.

Sebanyak 15 orang cedera di tengah Greece selepas kenderaan cuba menyelamatkan 200 orang penumpang kereta api penumpang yang terkandas akibat salji tebal.

Negara jiran Turki juga telah dilanda cuaca buruk, dengan sehingga 31 inci salji turun di beberapa bahagian negara.

Lapangan terbang Istanbul, antara yang terbesar di dunia, ditutup oleh pihak berkuasa pada Isnin selepas landasan diselimuti salji tebal dan bumbung salah satu terminal kargo runtuh di bawah salji tebal.

Jurucakap lapangan terbang berkata, penerbangan terhad telah dimulakan semula sekitar jam 1 tengah hari waktu tempatan (10:00 GMT) pada hari Selasa selepas kelewatan 22 jam, tetapi menambah jadual penuh tidak dijangka disambung semula sehingga sekitar tengah malam. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-europe-60129827)