Muhyiddin Yassin (tengah) menyampai surat pelantikan kepada Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pelantikan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebagai Ketua Pemuda PN yang baharu.

Ahmad Fadhli mengantikan Khairil Nizam Khirudin.

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi gabungan tersebut yang bermesyuarat semalam.

Tambahnya, Majlis Tertinggi PN turut bersetuju melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban yang juga Ketua Bersatu Melaka, Mohd Yadzil Yaakub sebagai Pengerusi PN Melaka yang baharu.

Semua pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta.

Hamzah berkata, mesyuarat itu turut membincangkan situasi politik khususnya berhubung kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menyifatkan tanggungjawab yang diamanahkan itu bukanlah satu kerja yang mudah ketika berdepan dengan pelbagai cabaran.

”Musim ini saya kira ialah musim kemarau bagi Perikatan Nasional khususnya selepas PRN Melaka. Walau bagaimanapun kerana ia merupakan mandat daripada parti dan juga sokongan sahabat-sahabat, saya gagahkan diri untuk menggalas amanat ini bagi berdepan dengan PRU15,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi kepercayaan kepadanya. – MalaysiaGazette