Pemain UITM FC, Victor Clotaire Michel Nirennold (kanan) diasak pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 antara Selangor FC lawan UITM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain import UiTM FC, Victor Nirennold yang beraksi dalam saingan Liga Super tahun lepas disahkan akan beraksi dalam saingan divisyen utama Liga Scotland, Scottish Premiership musim 2021-2022.

Pemain yang berusia 31 tahun itu diumumkan sebagai pemain baharu kelab Motherwell FC untuk membantu memperkuatkan benteng pertahanan dalam baki perlawanan yang akan datang.

Setelah tiga tahun mengutip pengalaman di Asia Tenggara bersama UiTM FC dan kelab dari Liga Vietnam, SHB Da Nang, Nirennold kembali semula ke Eropah serta bertemu dengan bekas jurulatihnya, Graham Alexander yang kini merupakan pengurus Motherwell.

“Victor memberi kekuatan tambahan kepada kami di bahagian pertahanan kanan. Dia telah menepati ciri-ciri corak permainan yang kami mahukan dan perwatakannya sesuai dengan pasukan kami.

“Kami gembira kerana dia berada di sini bersama kami dan tidak sabar bekerja dengannya lagi,” kata Graham Alexander di laman web kelab.

Memiliki ketinggian 194 sentimeter, sebelum menyertai UiTM FC, Victor pernah beraksi di Amerika Syarikat bersama FC Miami City dan kemudian ke kelab EFL, Fleetwood Town.

Selepas itu, dia berhijrah ke Slovakia sertai FK Senica.

Motherwell kini berada pada kedudukan keempat dalam saingan Scottish Premership setelah mengutip 31 mata dalam 21 perlawanan yang diharungi.

Victor dijangka membuat penampilan sulung dalam perlawanan menentang Hearts pada 29 Januari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast