Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berucap pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena perayaan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Kemuning, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menugaskan sehingga 259 pegawai dan anggotanya sepanjang pelaksanaan Op Selamat 17 Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 bermula 28 Januari hingga 6 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kesemua 28 pegawai dan 231 anggota polis akan ditugaskan untuk meminimumkan kemalangan dan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan kali ini.

“Operasi tahun ini masih mengekalkan tema Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi serta dua objektif utama iaitu mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan.

“Dijangka berlaku pertambahan dan pergerakan kenderaan pada musim perayaan ini, masyarakat Malaysia mengambil peluang cuti ini bagi menuju ke destinasi tertentu sama ada untuk menyambut perayaan ataupun bercuti.

“Operasi ini memfokuskan kepada penguatkuasaan undang-undang jalan raya serta pencegahan jenayah bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut dan membanteras kejadian pecah rumah di kawasan perumahan dan premis perniagaan,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Kemuning, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 17 Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 Peringkat Daerah Shah Alam, Plaza Tol Kemuning, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol dan Ketua Pegawai Operasi Kesas Sdn.Bhd, Mohamed Shah Samin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib menyempurnakan gimik Ôflag offÕ pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena perayaan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Kemuning, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JANUARI 2022.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan pertambahan kenderaan yang menggunakan beberapa lebuh raya di sini dapat dilihat bermula petang esok, ditambah pula cuti hujung minggu.

“Kita melihat cuti Tahun Baharu Cina bermula Selasa dan Rabu depan, malah cuti sekolah pun sudah bermula dan pergerakan kenderaan yang tinggi bermula esok petang, Sabtu dan Ahad, jumlah kenderaan akan bertambah di jalan raya,” katanya.

Katanya, sasaran Op Selamat 17 lebih tertumpu kepada lokasi yang kerap berlaku kesesakan jalan raya, kemalangan biasa dan kemalangan maut termasuk di lebuhraya, Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran.

“Op Selamat 17 akan diadakan di Persiaran Jubli Perak, Guthrie Corridor Expressway (GCE) / Jalan Subang, Persiaran Kuala Selangor/Jalan Bukit Kemuning dan Lebuhraya Persekutuan.

“Operasi yang akan dijalankan ialah Op Bersepadu, Op Motosikal, Op Mabuk, OP Samseng Jalanan, Op Pelbagai dan Op Perdagangan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib menyarungkan topi keledar kepada penunggang motosikal pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena perayaan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Kemuning, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JANUARI 2022.

Katanya, Op Selamat 17 kali ini juga lebih tertumpu kepada kesalahan yang dilakukan semasa pemanduan kenderaan, penyalahgunaan dadah dan alkohol oleh pemandu kenderaan.

“Kesalahan ini boleh membahayakan pengguna jalan raya lain dan semua kesalahan yang wujud dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan peraturan lalu lintas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast