Kotak kit sumbangan Yayasan Petronas diserahkan kepada 140 keluarga yang kurang bernasib baik sumbangan sempena Program Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Yayasan Petronas meraikan 140 keluarga golongan kurang bernasib baik di Pantai Timur dengan menyampaikan sumbangan sempena Program Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina.

Pengurus Kanan Petronas Pantai Timur, Azeman Said berkata, sumbangan berupa bekalan makanan asas bernilai RM200 itu diberikan kepada 40 keluarga di Bera, 50 keluarga di Kota Bharu dan 50 lagi keluarga di Kemaman.

“Sumbangan ini merupakan salah satu komitmen berterusan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.

“Selain itu sumbangan kit perlindungan diri seperti kit pertolongan cemas, selimut cegah kebakaran, termometer, oksimeter dan kit ujian kendiri Covid-19.

“Terdahulu, sejumlah 1,460 keluarga kurang berkemampuan dan sembilan rumah anak-anak yatim diraikan oleh Yayasan Petronas melalui siri Program Sentuhan Kasih di 13 buah negeri dan dua Wilayah Persekutuan seluruh negara melibatkan perbelanjaan berjumlah RM355,400,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan 55 orang anak-anak yatim, anak-anak terabai serta anak-anak yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan yang menghuni rumah kebajikan Rapha Children’s Home Kuantan hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Semenjak 2005, Petronas telah melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosialnya (CSR) termasuklah program Sentuhan Kasih yang diadakan pada setiap kali perayaan utama masyarakat Malaysia.

Yayasan Petronas ialah cabang CSR syarikat cari gali minyak itu  misinya untuk menyumbang ke arah kesejahteraan lestari serta meningkatkan kualiti hidup dan taraf sosio ekonomi masyarakat. – MalaysiaGazette