income tax arrears LHDN IRB Inland Revenue Board Lawyer, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah arrives at the Palace of Justice in Putrajaya for the hearing of SRC International Sdn Bhd trial involving his client, Datuk Seri Najib Tun Razak who is seeking to strike off the conviction against him over the misappropriation of RM42 million. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 18 MAY 2021.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memohon Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggantung prosiding kes saman berhubung tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta, atas alasan peguam itu sememangnya berniat untuk melengah-lengahkan tuntutan saman berkenaan.

Perkara itu dinyatakan di dalam afidavit jawapan yang diikrarkan oleh Ketua Penolong Pengarah di Unit Kawalan, LHDN Shamsul Effendi Khamis, yang diperoleh pihak media menerusi carian sistem mahkamah.

LHDN yang memfailkan afidavit itu pada 26 Jan lepas bagi pihak kerajaan Malaysia selaku plaintif  mendakwa Muhammad Shafee juga telah menyalahgunakan proses mahkamah.

“Sekiranya perkara ini berlaku (penggantungan prosiding dibenarkan) hak plaintif dan rakyat Malaysia akan dinafikan serta diprejudiskan secara serius.

“Ini adalah kerana kerajaan memerlukan hasil yang secukupnya untuk pembangunan dan kelancaran pentadbiran negara selain untuk menjaga kebajikan rakyat serta menangani impak pandemik COVID-19 yang menyebabkan krisis kesihatan dan ketidaktentuan ekonomi kepada negara,” menurut Shamsul Effendi dalam afidavit berkenaan.R

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Noordura Mohamed Din secara dalam talian pada 16 Feb ini.

Pada 3 Nov tahun lepas, Muhammad Shafee memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman itu sementara menunggu pelupusan rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia, antara lain atas alasan wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding berkenaan.

Peguam itu berkata permohonan itu juga difailkan sementara menunggu permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Feb ini.

Pada 27 Sept 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus iaitu mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan. Permohonan itu masih belum didengar mahkamah.

LHDN memfailkan saman itu pada 6 Mei 2021 mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Muhammad Shafee yang merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

— BERNAMA