PRN Johor
Bendera Negeri Johor. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Johor yang biasanya menduduki tempat pertama antara semua negeri dalam Malaysia bagi nilai pelaburan (domestik dan asing) yang diterima setiap tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, dijangka merosot di tempat keenam hingga kelapan pada tahun lalu.

Pengumuman itu akan dibuat pada bulan Mac tahun ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, pada tahun 2016, 2017 dan 2018 jumlah pelaburan di Johor masih tinggi dan negeri itu masih menduduki tempat pertama hasil usaha menarik pelaburan pada tahun sebelumnya.

Tetapi selepas PRU14, jumlah pelaburan ke Johor terus menjunam disebabkan ketidakcekapan kerajaan baharu di samping keadaan ketidakstabilan politik negeri dan negara.

Dari tahun 2018 hingga 2020, empat individu berlainan telah menjawat sebagai Menteri Besar Johor.

Bekas perdana menteri itu menambah, sebelum dibubarkan minggu lepas, kerajaan negeri cuma ada 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 DUN setelah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri PPBM meninggal dunia pada bulan lepas.

MB Johor, Datuk Hasni Mohammad pula adalah dari gabungan BN yang hanya memiliki 16 daripada 56 kerusi DUN.

Katanya, pada keadaan yang amat tidak stabil ini, ramai pelabur-pelabur tidak berani melabur sebab setiap kali kerajaan bertukar tangan, mereka mengalami risiko projek-projek mereka dibatalkan ataupun dasar akan bertukar.

Sekiranya, warga Johor ingin ekonomi serta pelaburan dipulihkan dan berkembang semula maka ada keperluan untuk mengembalikan sebuah kerajaan negeri yang berpengalaman, terbukti dan stabil dengan majoriti yang kukuh dari satu gabungan yang kuat.

Dan bukan dari gabungan-gabungan rojak yang dibentuk atas kepentingan politik yang hanya tunggu masa untuk berpecah lagi, ujar Najib. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast