Dadah yang dirampas daripada seorang pemuda di Bukit Beruang.

MELAKA – Lelaki bujang dipercayai pengedar dadah terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina di dalam lokap selepas polis merampas dadah jenis heroin base di rumahnya di Bukit Beruang, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superitendan Zulkiflee Rashid berkata, dadah dengan anggaran seberat 375.9 gram itu dijumpai ketika serbuan jam 4.50 pagi.

Menurutnya, turut dirampas daripada suspek lelaki bujang berusia 38 tahun yang bekerja sebagai ejen syarikat mencari pekerjaan itu adalah 632.3 gram dadah jenis heroin.

“Siasatan awal mendapati, suspek yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah mengakui baharu sebulan membekalkan dadah di kawasan sekitar.

“Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM43,000 dan hasil ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif morfin,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Tambahnya, suspek kini direman sehingga 2 Februari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain itu katanya, polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita dua buah kereta dianggarkan bernilai RM130,000 daripada lelaki terbabit.

“Polis Melaka memohon kerjasama masyarakat setempat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing,” tambahnya. – MalaysiaGazette