Richard O'Halloran. foto RTE

DUBLIN – Seorang ahli perniagaan Ireland yang telah dihalang daripada meninggalkan China selama hampir tiga tahun boleh pulang ke tanah air, menteri hal ehwal luar Ireland telah mengesahkan.

Richard O’Halloran, Pengarah di CALS (Perkhidmatan Pajakan Penerbangan Antarabangsa China) Ireland telah pergi ke Shanghai pada Februari 2019.

Penyiar RTE melaporkan, ketika itu firma berkenaan sedang berdepan pertikaian dengan pihak berkuasa China.

Apabila dia cuba meninggalkan negara itu, O’Halloran diberitahu larangan keluar telah diletakkan pada pasportnya.

Menteri Luar Negeri Ireland, Simon Coveney berkata, tiga tahun lalu merupakan pengalaman “traumatik” bagi O’Halloran dan keluarganya.

Menurutnya, kepulangan O’Halloran adalah hasil usaha yang “berbulan-bulan bekerja” lamanya.

O’Halloran telah pun terbang keluar dari Shanghai dan dijangka tiba di Ireland pada hari Sabtu.

Jurucakap keluarga O’Halloran berkata: “Keluarganya gembira dengan berita itu dan menantikan kepulangan Richard”.

Mereka berkata, O’Hallorana juga kelihatan sihat.

Dalam temu bual sebelumnya dengan RTE Prime Time tahun lepas, O’Halloran berkata, beliau telah pergi ke China untuk menyelesaikan masalah komersial dan bertemu pelabur.

O’Hallorana menggambarkan dia dalam ketakutan akan dipenjarakan “walaupun saya tidak bersalah”.

Menurutnya, pada Ogos 2020 dia telah rebah dan mengalami “kebimbangan dan tekanan akut”, serta “kurang tidur dan tekanan mental” akibat penahanannya.

Barry Andrews, Ahli Parlimen Eropah (Dublin), yang terlibat dalam kempen pembebasan O’Halloran berkata, empat anaknya telah dinafikan bapa mereka sejak tiga tahun lalu.

Tambahnya, ibunya yang berusia dalam lingkungan 80-an tidak tahu sama ada akan berjumpa dengan anaknya lagi.

“Jadi, ia adalah satu kelegaan yang besar atas dasar manusia bahawa dia dalam perjalanan pulang ke keluarganya,” tambahnya. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-europe-60170760)