Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi beramah mesra dengan peniaga semasa hadir bagi meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022 yang akan mula berkuatkuasa hari ini sehingga 4 Februari di Pasar Pudu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneliti secara lebih terperinci sama ada Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) akan terus dilanjutkan selepas 4 Februari atau sebaliknya.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, segala keputusan berkaitan pelanjutan skim tersebut perlu mendapat pandangan daripada semua pihak termasuk pembekal, peniaga dan pemborong serta memerlukan kajian terlebih dahulu.

“Itu kita akan teliti dengan baik supaya semua pihak kita boleh jaga kerana (pelanjutan) bukan mudah, ia berbeza-beza kerana pengguna mahukan harga yang murah tetapi pembekal dan penjual mereka perlu juga dapat keuntungan yang berpatutan kerana mereka ini berniaga.

“Dan ternakan ayam ini sudah banyak kita ketahui kos operasi mereka di ladang-ladang meningkat jadi kementerian akan membuat satu penelitian dan perincian yang sedang kami laksanakan ketika ini, kita tengok tahap mana yang patut kita letakkan nanti supaya kesemua berjalan dengan baik.

“Kami tidak boleh berbuat sesuka hati sebab itu kami ambil masa, jadi yakin lah kepada penguatkuasa dan pegawai kementerian yang berpengalaman dalam hal ini,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2022 di Pasar Pudu di sini, hari ini.

Alexander berkata demikian kepada pemberita selepas ditanya sama ada kementerian akan melanjutkan tempoh SHMKM yang akan berakhir pada 4 Februari ini.

Terdahulu menerusi kenyataan pada 28 Disember lalu, Alexander memaklumkan SHMKM terhadap 12 jenis barangan yang berakhir 31 Disember dilanjutkan sehingga 4 Februari.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima dan sebagai langkah berterusan untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan.

Dalam perkembangan berlainan, Alexander berkata, harga maksimum ayam bagi satu kilogram masih berada pada paras yang sama seperti yang telah ditetapkan sejak awal Januari lalu.

“Tidak ada peningkatan dalam masa beberapa minggu ini jadi jangan lah kata sudah meningkat (harga ayam), ia tidak meningkat sebenarnya dan masih di paras yang kita tetapkan sejak awal Januari.

“(Berdasarkan pemantauan) kita dapati ada tempat-tempat yang jual ayam dengan harga lebih rendah daripada harga yang kita telah tetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast