Mamadou Samassa. Foto Facebook Sri Pahang.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Sri Pahang (SRP) serius untuk memberikan saingan sengit dalam Liga Malaysia musim ini apabila mengumumkan dua lagi pemain import baharu yang pernah beraksi di pentas Eropah.

Dua pemain tersebut ialah penjaga gol tinggi lampai dari Mali, Mamadou Samassa dan penyerang kacukan Laos-Perancis, Billy Ketkeophomphone yang membuat penampilan sulung dalam saingan Piala Suzuki AFF di Singapura bulan lalu.

Samassa berpengalaman beraksi di Ligue 1 bersama Guingamp dan Troyes sebelum berhijrah ke Greece untuk bermain dengan Sivasspor dan terbaharu, Levadiakos.

Berusia 31 tahun, dia pernah mewakili Perancis di pelbagai peringkat umur sebelum membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Mali di peringkat senior dengan membantu negaranya menduduki tempat ketiga pada kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2013.

Kehadiran Samassa menyaksikan Sri Pahang kini mempunyai empat penjaga gol, sekaligus membayangkan betapa pengendali pasukan itu, Christophe Gamel cukup serius dalam memantapkan barisan belakang.

Billy Ketkeophomphone. Foto Facebook Sri Pahang.
Billy pula menjadi taruhan terbaru barisan depan skuad Tok Gajah untuk berganding dengan penyerang dari Jordan, Mahmoud Zatara.

Sri Pahang adalah pasukan Asia pertama yang disertai oleh pemain itu yang memulakan karier bolasepak profesionalnya dengan kelab Ligue 1 Perancis, Strasbourg pada tahun 2009.

Dia juga pernah menyertai kelab Ligue 2, AJ Auxerre dan sempat menjadi rakan sepasukan kepada bekas pemain import Pahang.

Pada musim lepas, Billy beraksi dengan pasukan Ligue 2, USL Dunkerque dan berjaya menjaringkan 3 gol dalam 25 penampilan.

Berdasarkan rekod, Billy telah mengumpulkan enam gol dalam 53 penampilan Ligue 1 dan 23 gol dalam saingan Ligue 2.

Billy juga merupakan pemain pertama dari Laos yang beraksi dalam Liga Malaysia jika perpindahan ini menjadi kenyataan.

Kehadirannya sedikit sebanyak akan menarik minat peminat bola sepak dari Laos untuk mengikuti perkembangan Liga Malaysia. – MalaysiaGazette