Datuk Ong Kim Swee.

KOTA KINABALU – Pemain Sabah FC diingatkan agar tidak terlalu tertekan dengan keputusan perlawanan persahabatan pramusim dan harapan penyokong, sebaliknya fokus untuk terus memperbaiki permainan mereka, kata Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Ong berkata, beliau amat memahami harapan peminat untuk Sabah FC mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan dihadapi, namun masa ini pihaknya sedang mengenal pasti kelemahan dan kekuatan setiap pemain bagi menyediakan pasukan menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Menurutnya, kekalahan Sabah FC 0-1 kepada pasukan Liga Premier Kuching City FC dalam perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Likas, di sini malam tadi tidak sepatutnya dijadikan alasan menekan pemain, sebaliknya menjadi pengajaran dalam memperbaiki permainan skuad.

“Pasukan kami tewas dengan serangan balas ini pasti memberi kami pengajaran, yang paling penting keputusan bukan untuk malam ini tetapi bermula Liga Malaysia nanti kami tidak boleh mengulangi kesilapan atau tidak dapat jaringkan sebarang gol.

“Ini lumrah pasukan tertentu bertahan melengah masa, bagi saya ini hanya suatu permulaan yang kami tidak boleh tertekan dengan situasi seperti ini, kami harus belajar,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu malam tadi.

Perlawanan persahabatan pertama Sabah FC pada 16 Januari lepas menyaksikan pasukan itu sekadar seri 1-1 dengan pasukan Liga M3 iaitu Kinabalu Jaguar FC di Stadium Likas.

Sementara itu, Ong berkata, kehadiran tiga pemain import Sabah FC dijadual minggu depan dilihat bakal membawa perubahan kepada strategi permainan yang sedang dicaturnya untuk pasukan itu.

Beliau berkata, Sabah FC bakal berdepan dengan skuad bawah 23 tahun kebangsaan dalam satu lagi perlawanan persahabatan minggu depan dan berharap semua pemain dapat menunjukkan prestasi lebih baik dalam perlawanan tersebut.

Musim ini Sabah mengekalkan dua pemain import iaitu pemain pertahanan Park Tae-Soo dari Korea Selatan serta pemain sayap Saddil Ramdani dari Indonesia, dan masih mempunyai kekosongan kuota tiga pemain import. – Bernama