JOHOR BAHRU – Polis Johor akan memberi tumpuan di 45 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam (blackspot) yang menyumbang kemalangan pada Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia melibatkan Kilometer 1 hingga 19 Jalan Endau-Mersing, Kilometer 1 hingga 7.2 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Kilometer 24 Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Kluang-Ayer Hitam-Batu Pahat.
Katanya, selain kawasan hitam tersebut polis juga akan memantau semua kawasan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan melancarkan perjalanan sepanjang perayaan.
Seramai 240 kekuatan terdiri daripada 25 pegawai dan 215 anggota di bahagian trafik akan ditugaskan sepanjang Op Selamat 17 bermula Jumaat lepas hingga 6 Februari ini.
“Untuk di jalan raya, pengguna jalan raya perlulah patuhi undang-undang yang diberikan pakat keselamatan jalan raya sebagai contoh apabila mengantuk perlu berhenti, selain menjaga jarak dengan kenderaan lain dan elak ikut rapat dengan kenderaan lain.
“Kalau kenderaan berhenti atau rosak di lebuhraya sila keluar dari kenderaan dan minta bantuan dari pihak yang berkaitan seperti PLUS dan di kala musim perayaan semua pihak seperti yang saya sebutkan tadi akan bersiap sedia dan bantuan akan sampai dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan OP Selamat sempena Tahun Baru Cina 17 di Plaza Tol Kempas, di sini, hari ini.
Sementara itu, Kamarul Zaman juga menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung menyambut perayaan agar melaporkan perancangan cuti kepada polis dengan mengisi borang maklumat balik kampung yang boleh diperolehi di balai polis berhampiran atau melalui portal rasmi PDRM.
“Mereka juga boleh memaklumkan pergerakan mereka menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) selain menghubungi Hotline 999 bagi membolehkan pihak PDRM bersama komuniti membuat pemantauan rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette