Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU – UMNO tidak pernah menawarkan habuan kepada dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertindak keluar parti baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, parti itu tidak menerima permohonan daripada kedua-dua individu berkenaan untuk menyertai UMNO.

Namun katanya, UMNO berterima kasih terhadap sokongan yang diberikan mereka dengan menunjukkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

“Buat waktu ini tiada sebarang permohonan (masuk UMNO) daripada mereka berdua. Tetapi kami mahu ucapkan terima kasih kerana tiada sebarang habuan yang dijanjikan kepada mereka.

“Mereka membuat keputusan itu (keluar Bersatu) dengan sukarela dan suci hati tanpa kami janjikan apa-apa. Itu kehendak mereka yang mahu menyokong Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan antara UMNO dan Parti Makkal Sakti Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R. S. Thanenthiran; Pengerusi Makkal Sakti Johor, Datuk Seri Dr. M. Suriya dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

Terdahulu, bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad mengumumkan keluar Bersatu kerana hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Ahmad yakin masih ada ADUN Bersatu akan mengikut jejak Mazlan dan Mohd. Izhar dalam menyatakan sokongan terhadap BN menjelang PRN Johor. – MalaysiaGazette