Pekerja am, Salbiah Jasmin melakukan kerja-kerja pembersihan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL,06 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)  menggesa kerajaan menaikkan gaji minima yang sepatutnya dibuat pada 1 Januari 2022 selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2020.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, kali terakhir kenaikan gaji minimum itu dilaksanakan pada 1 Januari 2022 dan pihaknya masih menunggu pengumuman daripada kerajaan mengenainya.

“Sebaliknya MTUC dikejutkan dengan pengumuman kenaikan tarif elektrik kepada pengguna bukan domestik yang diumumkan.

“Kenaikan tarif elektrik kepada pengguna bukan domestik dengan surcaj akan memberi kesan terhadap kenaikan barangan lain.

“Pihak industri akan memindahkan kos kenaikan tarif kepada pengguna dan akhirnya pengguna akan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, kenaikan gaji minimum dan kenaikan tarif elektrik memberikan impak kepada golongan pekerja.

“Kenaikan gaji minimum akan membantu golongan pekerja dan kenaikan tarif elektrik akan membebankan golongan pekerja.

“Bagaimana kerajaan dapat mengekang kenaikan barangan yang akan datang sedangkan barang kawalan seperti minyak masak telah dijual melebihi harga kawalan,” katanya.

Katanya, laporan gaji pekerja pembersihan di Singapura yang mencecah RM10,000 sebulan boleh dijadikan panduan kepada kerajaan bagi mengkaji kaedah gaji minimum di negara ini.

“MTUC akan berhubung dengan kesatuan di Singapura bagi mendapatkan penjelasan dan kaedah yang terbaik dalam pelaksanaan gaji minimum baharu. MTUC juga bimbang dengan keadaan semasa isu-isu pekerjaan.

“Selain isu gaji minimum masih tertangguh, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dalam isu buruh paksa, pindaan Akta Kerja,Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Mesyuarat NLAC yang tidak diadakan sejak setahun lalu dan beberapa isu lain yang tertunggak.

“MTUC telah menghantar surat untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri dan bersedia untuk berbincang dan mendengar nasihat Perdana Menteri untuk kebaikan Keluarga Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette