KPWKM Rina Harun child marriage
Minister of Women, Family and Community Development, Datuk Seri Rina Harun. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 30 JANUARY 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,225 Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) telah menerima peruntukan khas daripada kerajaan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, peruntukan tersebut diagihkan setelah mengambil kira keadaan PSK yang berdepan masalah kekurangan bantuan semasa Covid-19.

“Kalau kita lihat selama dua tahun ini, keadaan Covid-19 yang melanda negara, rumah-rumah jagaan sama ada orang kurang upaya (OKU) atau pun warga emas ini (mereka) mengadu kurangnya (menerima) bantuan dari syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

“Jadi dalam tempoh dua tahun ini kita telah membantu mereka (melalui) peruntukan khas kepada 1,225 PSK yang telah diagihkan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2022, di sini, hari ini.

Terdahulu Rina mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengadakan lawatan ke pusat jagaan itu.

Mengulas lanjut, Rina berkata, peruntukan yang diagihkan kepada PSK pada tahun 2022 adalah hampir sama jumlahnya seperti tahun lalu.

“Jadi untuk tahun 2021, sebanyak RM19.2 juta telah kita agihkan kepada pertubuhan sukarelawan dalam kategori yang menjaga warga emas, OKU dan kanak-kanak.

“Untuk tahun 2022 kita (masih) teruskan bantuan-bantuan ini dan pusat jagaan yang kita lihat agak daif, kurang mendapat bantuan kita salurkan makanan harian kepada mereka iaitu sebanyak RM8 setiap hari bergantung kepada berapa ramai penghuni di pusat jagaan tersebut,” ujarnya.

Menurut Rina, pada tahun lalu sebanyak 84 PSK kategori OKU menerima bantuan berjumlah RM9.09 juta diikuti 80 PSK kanak-kanak (RM6.72 juta), 22 PSK warga emas (RM1.68 juta), sembilan PSK keluarga (RM1.05 juta) dan PSK bagi kategori wanita/akhlak/lain-lain menerima sejumlah RM687,000. – MalaysiaGazette