Dr. Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Rakyat negeri ini diminta lebih peka dan terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) berikutan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti dalam negeri ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, masyarakat tidak boleh alpa apabila terdapat tanda-tanda awal peningkatan kes berlaku di negeri ini.

“Peningkatan kes ini jika kita gagal untuk mengekangnya di peringkat awal, akan menyebabkan lonjakan kes yang lebih besar

“Ini dibuktikan dengan peningkatan kluster komuniti terutama yang melibatkan institusi pendidikan.

“Juga terdapat beberapa lokaliti yang mempunyai kes positif yang disyaki varian Omicron,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Walau bagaimanapun, katanya, pelbagai usaha yang dijalankan serta liputan vaksinasi yang tinggi, Pahang berjaya menurunkan kes sehingga mencecah kepada purata kurang 200 kes sehari bermula pertenghan bulan Disember lalu.

“Potensi jangkitan varian baru yang lebih tinggi serta mula berjangkit sebelum kes mengalami gejala, sewaktu kes pertama dikesan apabila mereka bergejala dan membuat ujian, ia sebenarnya telah menjangkiti ramai yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN :

PKPD di Felda Tersang, Raub, Pahang mulai 2 Feb – MKN

Kes Omricron di Indonesia babitkan individu dari Malaysia disiasat

Justeru katanya, pelaksanaan PKPD dilaksanakan bagi memastikan kesemua komuniti yang terdedah dan berisiko dijangkiti, adalah benar-benar bebas penyakit dan tidak akan menjangkiti orang lain.

“Jika kita tidak mengambil langkah awal, dikhuatiri akan menjangkiti ramai lagi dan menyebabkan ianya akan lebih tidak terkawal.

“Bagi meringankan beban penduduk yang dikenakan PKPD, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan kepada komuniti yang dikenakan PKPD,” katanya.

Terdahulu, beberapa lokasi dikenakan PKPD seperti di Ladang Felda Kechau 6 Dan 9, Lipis bermula  22 Januari sehingga 4 Februari ini.

Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah Rompin turut dilaksanakan PKPD bermula 25 Januari hingga 7 Februari.

Manakala Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan dikenakan PKPD sejak 29 Januari sehingga 11 Februari dan di Felda Chemomoi bermula 28 Januari sehingga 10 Februari.

Terbaharu PKPD akan dilaksanakan di Felda Tersang 1, 2, dan 3, Mukim Batu Talam, Raub, Pahang mulai esok hingga 15 Februari ini. – MalaysiaGazette