Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi ang pau kepada kanak-kanak istimewa semasa mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa Insan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM19.2 juta geran peruntukan disediakan oleh kerajaan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sejajar dengan prinsip keterangkuman Keluarga Malaysia bagi memastikan tiada mana-mana golongan yang terpinggir.

Menurut beliau, bantuan kewangan itu diberikan kepada PSK yang menyediakan perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kumpulan sasar Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

“Kita beri kepada pusat OKU, rumah orang tua dan juga pusat jagaan lain, memang kita beri peruntukan yang khusus.

“Disamping itu, kanak-kanak istimewa dan orang tua yang tidak tinggal di rumah yang dikhaskan misalnya mereka tinggal di kampung, memang ada peruntukan sedia ada tahunan yang diluluskan dalam bajet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2022, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni dan menyerahkan pek makanan berserta buah limau kepada anak-anak istimewa di pusat jagaan tersebut.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Dalam pada itu, Ismail berharap kunjungannya ke pusat jagaan tersebut dapat membawa kegembiraan serta keceriaan kepada seluruh anak-anak istimewa di situ.

“Sempena Tahun Baharu Cina kali ini, saya berpeluang mengunjungi pusat jagaan orang tua dan pusat jagaan kanak-kanak istimewa, jadi kedatangan saya (hari ini) untuk membawa sedikit kegembiraan kepada mereka.

“Saya juga dapati keadaan di sini semua okay dan saya mendapat makluman (daripada pusat jagaan) kanak-kanak ini dihantar ke sekolah khas dan juga Pusat Dalam Komuniti, jadi mereka ini dijaga dari segi masa depan dan pelajaran,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut mengingatkan masyarakat yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina supaya sentiasa patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

“Kali ini kita memberi sedikit kelonggaran, berbeza dengan tahun lepas, namun SOP mesti dipatuhi dengan sentiasa memakai pelitup separuh muka dan amalkan penjarakan fizikal.

“Kita patuhi SOP bukan untuk orang lain tetapi untuk kepentingan keluarga kita,” katanya.

Selain melawat pusat jagaan kanak-kanak istimewa, terdahulu Ismail juga meluangkan masa dengan mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Selangor King George V Silver Jubilee Fund di Jalan Loke Yew yang menempatkan warga emas. – MalaysiaGazette