MELAKA – Sambutan Tahun Baharu Cina disambut penuh makna bagi anak perantauan berketurunan Cina Peranakan, di sini, hari ini apabila bukan sahaja dapat ‘terbang’ dari Sabah bertemu ibunya selepas hampir tiga tahun, bahkan dia dapat beraya bersama adik lelakinya yang sudah memeluk Islam.

Teoh Swee Ann, 61, berkata, dia sekeluarga sudah membuat persiapan membeli tiket penerbangan dari Sandakan, Sabah sejak sebulan lalu sebaik sahaja mendapat tahu kerajaan membenarkan keluarga berkumpul di kampung halaman untuk menyambut perayaan kali ini.

Menurutnya, lebih bermakna apabila bukan sahaja dapat menyambut Tahun Baru Cina bersama ibu tercinta, Lee Kim Nio, 84, bahkan dapat bertemu dengan adik lelakinya, Muhammad Redzuan Teoh Abdullah, 52, yang memeluk Islam sejak 13 tahun lalu.

“Bagi saya perayaan tahun ini lebih bermakna kerana dapat berkumpul makan besar beramai-ramai bersama keluarga Baba dan Nyonya ini yang sudah hampir tiga tahun tidak jumpa akibat prosedur operasi standard (SOP) ketat Covid-19 selain bertemu adik lelaki yang sudah memeluk Islam.

“Risau juga pasal Covid-19 ini semua, tapi oleh kerana kerajaan telah membenarkan kita dengan dos-dos lengkap vaksin yang telah ambil membuatkan kita boleh berjumpa keluarga,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Ayer Keroh Height, di sini, hari ini.

Sementara itu, isteri Muhammad Redzuan, Nurul Natrah Lukanni Lockman, 35, berkata, dia tidak kekok meraikan Tahun Baharu Cina dalam keluarga Baba dan Nyonya kerana budaya masyarakat Peranakan yang tidak banyak berbeza dengan kaum Melayu.

“Dari segi makanan pun tiada masalah sebab mereka pun masak ayam sambal, rendang dan masakan makanan banyak macam orang Melayu jadi tidak kekoklah.

“Mak mentua pun cakap Melayu sebab budaya Peranakan pun macam budaya Melayu, jadi tiada masalah,” katanya. – MalaysiaGazette