Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga runcit ayam di pasaran akan melebihi RM10 sekilogram jika tiada intervensi kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik keputusan kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8.90 sekilogram dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Mengenai Industri Pengeluaran Makanan baru-baru ini.

Beliau berkata,  harga siling runcit ini akan berkuatkuasa pada 5 Februari 2022
setelah berakhirnya Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada 4 Februari 2022.

Harga ini akan kekal sehingga 5 Jun 2022 selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga harga makanan lain yang berkaitan.

Manakala penetapan harga siling runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak akan dibuat berdasarkan lokasi.

Jelasnya, harga runcit RM8.90 ini merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa Perayaan Deepavali, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7-31 Disember 2021 dan RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari 2022.

Penetapan harga baru runcit ayam ini ditampung melalui subsidi kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil.

Alexander berkata, beberapa ketetapan rakyat-centric bersabit dengan industri pengeluaran ayam dan telur juga telah diputuskan dalam mesyuarat NACCOL tersebut iaitu harga telur ayam semua gred kekal seperti harga maksimum runcit SHMKM semasa; pelaksanaan kedua-dua harga siling runcit ayam dan telur ini bermula 5 Februari sehingga 5 Jun 2022.

Walau bagaimanapun, harga siling runcit ini akan dikaji dari masa ke semasa bergantung kepada faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluaran ayam dan telur ayam negara.

Permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.

Mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar.

KPDNHEP juga menyokong terhadap keputusan proaktif kerajaan dalam memastikan Dasar Sekuriti Makanan Negara sentiasa terjamin bukan sahaja dari segi bekalan tetapi juga pada harga yang tidak membebankan rakyat Malaysia.

Ia termasuk menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit sebagai alternatif kepada jagung dan soya yang diimport sepenuhnya sebagai makanan ayam.

Mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian.

KPDNHEP akan memastikan pelaksanaan arahan kerajaan kepada agensinya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk membuat siasatan berterusan bagi memastikan tiada wujudnya kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur dan semua ketetapan termasuk pelan tindakan jangka panjang yang diputuskan akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam Mesyuarat Taskforce Pelaksanaan yang akan dipengerusikan oleh MAFI dan akan dilaporkan dalam mesyuarat NACCOL akan datang. – MalaysiaGazette