nasi kandar Ipoh helicopter Ebit Lew sexual harassment Abd Jalil Hassan CCID commercial crime online gambling syndicates Op Dadu Khas
Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan sindiket judi dalam talian yang menyalahgunakan nama pasukan keselamatan itu untuk memperdaya orang ramai

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, berdasarkan maklumat dan risikan yang telah dijalankan termasuk aduan awam yang diterima, pihaknya mendapati sindiket perjudian atas talian semakin berani.

Malah, katanya, terdapat dakwaan sindiket perjudian atas talian telah mendapat kebenaran untuk beroperasi daripada pihak atasan PDRM di premis-premis komersial.

“Pihak kami tidak pernah sesekali memberikan lampu hijau kepada mana mana sindiket yang menjalankan aktiviti judi dalam talian ini untuk beroperasi.

“Kami memandang serius tindakan sindiket judi online ini yang berani mendakwa kononnya pihak atasan PDRM memberi lampu hijau untuk kegiatan haram mereka kepada awam dan semakin kebal melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

“Kami memberikan amaran keras kepada sindiket JOL (judi atas talian) ini agar menghentikan perbuatan mereka (salah guna nama polis) dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi ke atas mereka yang kini dipantau secara rapat setiap gerak geri aktiviti mereka,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media mengenai operasi judi atas talian pada JOL perayaan Tahun Baharu Cina di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Tambah beliau, untuk menghapuskan aktiviti perjudian atas talian secara keseluruhannya adalah satu cabaran yang sangat besar kepada PDRM kerana aktiviti itu masih wujud wujud disebabkan terdapat permintaan daripada orang ramai.

Justeru tambah beliau, kemudahan untuk melayari laman sesawang di mana-mana sahaja menjadi faktor kepada pertambahan sindiket perjudian atas talian ketika ini.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, pihaknya telah melancarkan Op Dadu Khas bermula pada 15 Januari lalu dalam usaha membanteras kegiatan perjudian dalam talian di negara ini.

“Sindiket perjudian dalam talian juga dipercayai sengaja mengadakan cerita bahawa telah mendapatkan kebenaran beroperasi daripada pihak atasan PDRM bagi menakut-nakutkan petugas PDRM yang mahu mengambil tindakan seperti pemeriksaan dan serbuan terhadap aktiviti perjudian.

Katanya, pada Op Dadu Khas yang diadakan serentak di seluruh negara bermula 25 Januari lalu hingga 2 Februari ini seramai 1,355 orang awam dan penjaga telah ditangkap menerusi 826 serbuan.

Dalam serbuan itu, sebanyak 2,558 buah komputer riba, tablet dan telefon bimbit selain rampasan wang tunai berjumlah RM189,196 dilakukan, jelasnya.

“Mengikut pecahan negeri, Selangor menduduki tangga teratas dalam tangkapan iaitu membabitkan 132 serbuan dan 342 tangkapan orang serta wang tunai RM30,078 disusuli Johor sebanyak 99 serbuan merangkumi 105 tangkapan dan wang tunai RM45,927 dan 94 serbuan di Kuala Lumpur dengan 213 tangkapan membabitkan wang tunai RM13,965,” ujarnya.

Abd Jalil memberitahu, bagi memastikan tiada sebarang unsur penglibatan pihak atasan PDRM membelakangi sindiket judi dalam talian seperti didakwa, JSJ telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Ujar beliau, JIPS dilibatkan dalam setiap operasi yang dilaksanakan bagi memastikan serbuan yang dilakukan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Selain itu, setiap laporan operasi akan dirujuk kepada JIPS untuk penilaian lanjut membabitkan anggota dan pegawai yang terlibat operasi.

“Malah kita juga akan siasatan kesemua tangkapan berkenaan kerana mereka menjadi orang suruhan menjaga dan mengoperasikan judi atas talian elepas menerima arahan ¬†orang atasan.

“Kita akan perhebatkan siasatan untuk menarik keluar orang yang berselindung di sebalik judi atas talian ini kerana kegiatan atas digital ini dibawa masuk dari luar negara,” ujarnya.-MalaysiaGazette

ya.