Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Seorang pesara wanita berusia 74 tahun berputih mata dengan janji manis buah hatinya yang  menghilangkan diri setelah memperdayanya sebanyak RM52,300.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mod Yusof berkata, mangsa diperdaya oleh teman lelakinya yang benjanji mengahwini wanita itu jika permintaannya untuk meminjam wang dituruti.

“Suspek berkenalan dengan mangsa laman sosial sejak 18 Disember 2021 lalu dan pengadu memberikan nombor telefon kepadanya untuk berkenalan lebih lanjut.

“Namun setelah mangsa memberi pinjaman wang kepada suspek sebanyak tujuh kali, suspek telah menyekat nombor telefon mangsa dan tidak menghubunginya lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Wazir, suspek mendakwa berasal dari Amerika Syarikat namun bekerja di Miri, Sarawak dalam bidang cari gali minyak.

Jelas beliau ,sepanjang perkenalan, pengadu hanya berhubung dengan suspek melalui panggilan telefon dan menerusi Whatsapp namun tidak pernah berjumpa.

“Pada 31 Januari lalu selepas sahaja transaksi terakhir suspek tidak lagi menghubungi pengadu sehingga ke hari ini.Apabila pengadu menyedari dirinya telah ditipu, pengadu hadir ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.

Kata Wazir, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga emas mengalami kerugian RM85,000 selepas menerima panggilan daripada pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini pada 27 Januari lalu.

Mohd Wazir berkata, pegawai LHDN palsu itu mempengaruhi mangsa dengan mengatakan mangsa mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM36,700.

“Semasa dihubungi, pengadu juga disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan mangsa juga dikatakan telah terlibat dengan aktiviti penggubalan wang haram.

“Pengadu dikehendaki memasukkan duit ke dalam akaun seperti yang disuruh oleh suspek,” katanya menerusi kenyataan yang sama.

Tambah Mohd Wazir, pada 27 Januari lalu pengadu telah memasukkan duit berjumlah RM85,000 ke dalam akaun yang diberikan.

Namun selepas pengadu masukkan duit pengadu rasa ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan.

Kata Wazir, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette