Dr Mahathir Mohanad. foto FB

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) berpesan kepada ahli-ahli Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang bakal bersaing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Menurutnya, meskipun tidak dapat bersama, namun semangat dan jiwanya akan mengiringi mereka.

Bekas perdana menteri itu berkata, perjuangan untuk negara tidak pernah ada noktah seperti juga ibadah.

“Perjuangan juga bagi saya satu ibadah malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan.

“Begitu juga dengan penglibatan Pejuang di dalam PRN Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Mahathir, parti itu bertanding kerana tidak mahu kumpulan yang tidak amanah, rasuah dan mencuri harta rakyat mendapat kuasa dan terus melakukan perbuatan yang merosakkan bangsa, agama dan negara.

Oleh itu, perjuangan ini menjadi satu tanggungjawab, satu amanah yang perlu dipikul, ujarnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, Pejuang berbeza dengan parti lain kerana ia terdiri mereka yang tidak sanggup bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat.

Lantaran itu, katanya, rakyat Johor perlu merasa bangga kerana negeri itu dipimpin oleh Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang sanggup melepaskan jawatan dan kedudukan kerana tidak mahu bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat.

“Namun kita juga sedar laluan yang kita ambil bukanlah mudah. Tetapi perjuangan lahir dari jalan-jalan yang berliku yang penuh dengan onak dan duri.

“Keberanian menghadapi cabaran; yakin bahawa perjuangan kita itu suci dan ikhlas; mempertahan agama, bangsa dan tanah air itu satu tanggungjawab, satu amanah dan juga satu ibadah. Insya-Allah kita tidak akan tergelincir dari landasan kebenaran,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast