Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Lebih ramai lagi pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan kembali menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa beliau tahu lebih ramai lagi bersedia untuk berbuat demikian selepas ramai dalam kalangan pemimpin kanan parti itu di Johor kembali menyokong UMNO dan BN.

“Gelombang ini bukan satu perkara yang tidak baik. Ia satu proses pemulihan…belut pulang ke lumpur, sireh pulang ke gagang.

“Kita ahli dan penyokong setia parti harus membuka pintu menyambut kepulangan ini…mudah-mudahan ia turut merintis kepulangan dukungan rakyat keseluruhannya terhadap parti keramat warisan bangsa ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut Annuar, dalam sejarah politik negara, parti serpihan biasanya berjuang di bawah dukungan personaliti, bukan organisasi atau idealogi.

Lazimnya, hayat golongan ini juga tidak lama, namun UMNO adalah sebuah parti berakar umbi yang mempunyai organisasi dan tidak terlalu bergantung kepada personaliti.

Ujarnya, kepimpinan sering “Patah Tumbuh Hilang Berganti” dan beliau mendoakan lebih ramai rakan-rakannya yang dulu meninggalkan parti untuk kembali semula.

“Kita bersama mendokong perjuangan ini…UMNO harus terus terbuka kerana UMNO harus memimpin,” tambah beliau.

Untuk rekod, pada 26 Januari lalu, Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang meletak jawatan ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor menegaskan, tidak akan menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan BN.

Katanya, keputusan itu diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras. – MalaysiaGazette