Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

KUALA LUMPUR – Keberkesanan dos penggalak jenis Pfizer-BioNTech (Pfizer) dan Astrazeneca (AZ) terbukti lebih efektif berbanding Sinovac.

Itu reaksi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing apabila mempersoalkan mengapa beliau masih enggan membenarkan orang ramai memilih jenis vaksin yang mereka mahukan.

Keputusan pemberian vaksin dari jenis itu dibuat kerana mahu semua individu dilindungi sepenuhnya menerusi dos penggalak, katanya.

“Saya hendak bagi yang terbaik kepada rakyat, takkan saya nak offer (tawarkan) yang tidak baik.

“Pada asalnya kita ikut keberkesanan apabila pakar sudah maklum kepada saya dos penggalak Pfizer dan AZ lebih berkesan.

“Bagaimanapun kita sediakan Sinovac di PPV (Pusat Pemberian Vaksin) bagi mereka yang ada alahan, yang tidak boleh terima Pfizer sebab ada alahan, kita bagi Sinovac,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata, bagi Kementerian Kesihatan, pihaknya mengesyorkan Pfizer dan AZ sebagai dos penggalak kerana keberkesanan lebih tinggi berbanding Sinovac.

“Oleh kerana NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) sudah setuju dengan Sinovac, jadi kita tidak boleh menafikan, mereka boleh ambil Sinovac,” katanya.

Hari ini, sebuah laman portal melaporkan, King Sing persoal Khairy berhubung peningkatan mendadak kes Covid-19 dengan berkata, Ahli Parlimen Rembau itu seolah-olah mempunyai “hubungan yang tidak boleh dipisahkan” dengan pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech.

King Sing mempertikai mengapa Khairy masih enggan membenarkan orang ramai memilih jenis vaksin yang mereka mahu. – MalaysiaGazette