KUALA LUMPUR – Kehadiran ke Terengganu FC diibaratkan seperti kepulangan semula ke tempat asal buat penyerang import, Tchetche Kipre yang sama sekali tidak menyangka masih berpeluang menyarung jersi hitam putih selepas meninggalkan pasukan pada 2019.
Menurutnya, dia telah berasakan Terengganu seperti sudah sebahagian daripada dirinya dan sebaik apabila mendapat panggilan dari pengendali, Nafuzi Zain, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran berkenaan.
Justeru itu, Kipre mengharapkan kehadirannya semula ke Terengganu akan membuahkan kejayaan yang lebih besar berbanding apa yang dilakar sebelum ini.
“Dalam bola sepak, memang sukar buat pemain kembali beraksi dengan pasukan sama dan sebelum saya bersama Terengganu semula, ramai peminat mengatakan amat sukar untuk bekas pemain-pemain kembali ke sini selepas keluar.
“Jadi saya rasa sangat bertuah kerana diberi kepercayaan sekali lagi untuk pulang ke Terengganu, tempat saya mulakan karier di Liga Malaysia selain banyak kenangan indah telah tercipta di sini, harap musim 2022 akan memberikan kenangan yang lebih bermakna.
“Terengganu umpama negeri kedua dan semasa berhijrah ke Kedah pada musim 2020, saya sebenarnya berpisah dengan cara baik dan tiada masalah untuk saya kembali ke sini.
“Saya sempat berada dengan Nafuzi Zain pada 2019 selama enam bulan yang ketika itu dilantik menjadi pemangku sementara malah sudah mengenalinya sejak dia menjadi penolong kepada Irfan, jadi saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan beliau, ” katanya.
Kipre merupakan penggempur utama Terengganu yang berjaya membawa skuad pada musim 2018 mara ke pentas final Piala Malaysia sebelum tewas kepada Perak.
Bersama Terengganu dari 2017 ke 2019, dia berjaya menjaringkan 46 gol secara keseluruhan dengan 2018 menjadi musim paling cemerlang apabila meledak 24 jaringan.
Pada musim 2017, dia menjaringkan 8 gol manakala 2019, sebanyak 14 gol telah dihasilkan buat Terengganu manakala di Kedah selama dua musim, Kipre meledak 18 jaringan.
Kehadirannya semula ke Terengganu mengejutkan sebahagian besar peminat skuad Penyu selepas pengurusan mengumumkan yang mereka sudah mengikat dua penyerang import, Kpah Sherman dan Jordan Mintah.
Sementara itu, Kipre akui dia sangat gembira kehadirannya ke Terengganu tidak keseorangan sebaliknya turut ditemani rakan sepasukannya dari Kedah, Kpah Sherman.
Ujar Kipre, keserasian yang terbina bersama Sherman sejak dua musim lalu mampu diteruskan dan optimis mereka berdua mampu melakukan lebih baik berbanding di Kedah.
“Saya memang teruja apabila ketahui Sherman akan bersama di Terengganu, dia sememangnya seorang penyerang yang berkualiti tinggi dan sentiasa bijak mencari ruang dalam kawasan lawan.
“Harap persefahaman yang terjalin akan memberikan kesan positif buat Terengganu kerana kami sudah masak dengan corak permainan kami antara satu sama lain.
“Selain itu, tidak dilupakan Jordan Mintah, yang saya rasakan sebagai satu persaingan sihat untuk pasukan kerana dia juga seorang penyerang yang bagus jika dilihat persembahan musim lalu, ” katanya. – MalaysiaGazette