NIBONG TEBAL – Penduduk Kampung Kebun Baru yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada Isnin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam satu kenyataan berkata, kebenaran itu dibuat berdasarkan cerapan terkini dan ulasan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

Katanya, kualiti udara di sekitar kawasan Kampung Kebun Baru dilihat semakin baik sekali gus membolehkan penduduk dibenarkan rumah masing-masing mulai hari ini.

“Bagaimanapun bagi Ladang Byram, penduduk masih dinasihatkan untuk tidak kembali ke rumah masing-masing dan pemantauan akan diteruskan oleh JAS sehingga bacaan kualiti yang stabil diperoleh,” katanya hari ini.

Tambahnya, penduduk di sekitar daerah ini terus dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri.

“Sekiranya bergejala seperti sesak nafas dan tidak sihat dinasihatkan terus mendapatkan rawatan di klinik-klinik dan hospital berhampiran,” jelasnya.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu susulan pencemaran udara akibat kebakaran itu mengancam nyawa penduduk.

Untuk rekod kebakaran kawasan seluas 6.5 hektar di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu dilaporkan berlaku bermula 12 Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast