SEKUMPULA  penyelidik Universiti Malaya membangunkan aplikasi pengurusan kesihatan, ”Age +” yang akan dapat membantu meningkatkan kualiti kesihatan 3.7 juta orang warga emas.

Aplikasi Age + ini dibangunkan bagi menyediakan peluang kepada warga emas untuk
mengakses maklumat kesihatan supaya ianya boleh digunakan untuk membantu mereka
mengharungi proses penuaan yang aktif dan sihat.

Menurut penyelidik Aplikasi Age+, Dr Farzana Parveen Tajudeen, Fakulti Perniagaan dan
Ekonomi, Prof. Madya Mumtaz Begum Binti Peer Mustafa dan Prof. Madya Nor Aniza Abdullah dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, aplikasi itu menyediakan
maklumat berkaitan penyakit, maklumat kalori, dan maklumat tentang makanan sihat.

Aplikasi ini juga dapat membantu pengguna menjejaki diet mereka.

“Aplikasi ini dibangunkan untuk membantu dan memberi sokongan kepada warga emas dan juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Universiti Malaya ke arah berkhidmat kepada negara melalui penyelidikan yang berimpak tinggi.

“Selain itu, aplikasi ini menyediakan ciri interaktif dan mudah untuk kegunaan warga emas yang menggabungkan pelbagai fungsi seperti senarai ubat, peringatan perundingan doktor, dan cadangan untuk gaya hidup sihat berdasarkan tingkah laku pengguna, seperti tabiat tidur, pengambilan air dan kafein, dan lain-lain.

Aplikasi ini juga menawarkan maklumat diet sihat, dan tabiat makan yang telah direka untuk rakyat Malaysia.

Penyelidik aplikasi ini juga berkata, bagi membangunkan aplikasi ini, data dikumpul daripada warga emas tempatan untuk memahami keperluan mereka. Matlamatnya adalah untuk menjadikan aplikasi ini mudah dan dapat meningkatkan kebolehgunaannya untuk warga emas.

“Satu program komputer (crawler) telah dibina untuk mengesyorkan aplikasi mudah alih secara proaktif kepada pengguna media sosial. Buat masa ini, pembangunan prototaip aplikasi ini dan penilaian pengguna telah selesai, dan aplikasi tersebut akan tersedia kepada orang ramai tidak lama lagi.

”Penyelidikan ini dibiayai oleh Geran Penyelidikan Antara Disiplin Berorientasikan
Impak Universiti Malaya,” tambah mereka lagi. – MalaysiaGazette