Peserta Bengkel dan Mesyuarat Bersama Persatuan dan Kesatuan UPSI 2022 di Melaka pada 4 Februari 2022 - foto UPSI

TANJONG MALIM – Pelbagai program telah dan akan dijalankan bersempena dengan 100 tahun penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bakal lengkap pada 29 November 2022.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Md. Amin Md Taff telah melancarkan kumpulan Jaringan Integrasi Teras Universiti ataupun JITU pada 4 Februari lalu sempena Bengkel dan Mesyuarat Bersama Persatuan dan Kesatuan UPSI 2022 diadakan Melaka.

JITU merupakan satu gabungan baharu yang terdiri daripada empat kumpulan persatuan dan kesatuan kakitangan UPSI iaitu kumpulan Persatuan Kakitangan Akademik (PEKA), Persatuan Pegawai Professional dan Ikhtisas (PRESTASI), Kesatuan Pegawai Am (KPA) dan Persatuan Wanita (PEWARIS).

Ia berfungsi dan bergerak sebagai satu kumpulan yang akan bersama universiti dalam menjalankan aktiviti yang berskala besar.

Menurut satu kenyataan, penyatuan itu julung kali diadakan secara formal dan kumpulan JITU akan diwakili oleh setiap Pengerusi dan Setiausaha badan kakitangan UPSI.

Prof. Md Amin berkata, semua persatuan dan kesatuan akan bersama dalam satu pasukan iaitu JITU.

“Kekuatan dan kecemerlangan sesuatu organisasi seperti badan kakitangan ini hendaklah sentiasa disemai,”ujarnya.

Beliau turut mengariskan tujuh inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh setiap persatuan dan kesatuan iaitu sistematik, prihatin, bakti, seronokan, menjana, berkomunikasi, dan bersatu.

Sementara itu, Presiden PRESTASI Sayed Muhammad Arif Sayed Yahya berharap agar semua ahli dapat memberi komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pengurusan universiti.

Beliau berkata, PRESTASI telah merangka gerak kerja dan takwim bagi tahun 2022, dan akan melakukan yang terbaik untuk menjaga kebajikan ahli dan menyokong aspirasi universiti. -MalaysiaGazette