Ozgur Cil (kanan) di Ibu Pejabat Aselsan Turki di Ankara bersama salah seorang delegasi media Malaysia.

ANKARA, Turki – Pengeluar produk pertahanan Turki, Aselsan akan mengambil bahagian dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022.

Pameran yang akan berlangsung pada 28 hingga 31 Mac ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur akan diadakan secara hibrid selepas ditangguhkan pada tahun lalu berikutan penularan Covid-19.

Pengurus Pemasaran Aselsan Turki, Ozgur Cil berkata, syarikat itu akan membuka ruang pameran membabitkan produk pertahanan terkini.

“Dalam pameran kali ini kami akan meletakkan sebanyak 15 produk pertahanan yang canggih serta terkini dari kami.

“Kami juga optimis bahawa produk berteknologi terkini itu ia akan menarik pelabur dalam industri pertahanan yang akan berkunjung ke DSA 2022 di Kuala Lumpur nanti,” katanya kepada pemberita Malaysia di ibu pejabat Aselsan di Yenimahalle, di sini, semalam.

Aselsan merupakan sebuah syarikat pertahanan Turki yang bergiat aktif dalam penyelidikan dan pembangunan, mengeluarkan produk ketenteraan canggih untuk angkatan udara, darat dan maritim selain menjadi kontraktor utama angkatan tentera Turki.

Terdahulu beliau menerima kunjungan delegasi media terdiri daripada enam orang wartawan Malaysia.

Dalam lawatan yang sama, delegasi media dibawa meninjau ke bahagian pemasangan kereta perisai, meriam, alat telekomunikasi ketenteraan dan agensi penguatkuasaan Turki di ibu pejabat tersebut.

Menurut Ozgur, Aselsan yang telah menyertai pameran DSA sejak 90-an yakin ia akan berjalan lancar selepas dibatalkan pada tahun lalu.

Ujar beliau, antara produk yang akan dipamerkan pada pameran DSA ialah sistem HISAR-O iaitu sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana. – MalaysiaGazette