Anggota polis membawa seorang lelaki selepas didakwa cuba membunuh seorang anggota polis dengan merempuhnya dalam satu sekatan jalan raya di Seri Kembangan pada 5 Februari yang lepas di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2022.

PETALING JAYA – Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan melanggar seorang anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) di Seri Kembangan pada Sabtu lalu.

Yap Kah Wai, 29, didakwa cuba membunuh Lans Koperal Meor Mohd Asri dengan melanggar mangsa menggunakan kereta jenis Toyota Vios di SJR Jalan Besar Seri Kembangan menghala ke Pekan Seri Kembangan, di sini, kira-kira pukul 1.50 pagi, 5 Februari lalu.

Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat berhujah, pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mangsa dalam kes tersebut mengalami kecederaan parah selain tertuduh memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.

“Pohon jaminan tidak diberikan kepada tertuduh kerana (tertuduh) mempunyai 16 rekod jenayah lampau membabitkan narkotik, samun dan curi kenderaan,” katanya.

Sementara itu, peguam Kailash Sharma yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan dengan mengambil kira tertuduh dianggap tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan betul-betul bersalah (innocent until proven guilty).

Selepas mendengar permohonan dan hujah daripada kedua-dua belah pihak, hakim kemudiannya membuat keputusan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Hakim Jamaludin turut menetapkan 17 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Media pada 5 Februari lalu melaporkan, seorang anggota polis yang sedang bertugas di SJR di Jalan Besar Seri Kembangan menghala ke Pekan Seri Kembangan mengalami patah kaki kanan selain cedera di kepala dan kedua-dua tangan selepas dirempuh sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, Lans Koperal Meor Mohd Asri menerima enam jahitan pada bahagian belakang kepala akibat kejadian itu.

Menurut beliau, dalam kejadian pada pukul 1.53 pagi itu, pemandu kenderaan melarikan diri selepas melanggar anggota terbabit.

Katanya, suspek berjaya diberkas sepasukan anggota dari Balai Polis Seri Kembangan bersama unit peronda polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bersama seorang lelaki dan wanita di sebuah kafe di Taman Serdang Perdana.

“Pemandu lelaki berusia 29 tahun mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah, 16 saman trafik membabitkan pandu laju, tiada lesen memandu, tidak memakai tali pinggang dan memotong secara berbahaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast