Muhammad Hanif memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital swasta.

GEORGE TOWN – Sepasang suami isteri merayu bantuan orang ramai menyalurkan sumbangan bagi menyelamatkan nyawa anak mereka berusia dua tahun yang kini perlu menjalani pembedahan jantung.

Mahamad Sukri Ibrahim, 46, berkata, anak lelakinya Muhammad Hanif disahkan menghidap penyakit jantung yang teruk sebaik dilahirkan.

Bagaimanapun, jelasnya, pembedahan terpaksa ditangguhkan ketika itu susulan anak bongsunya itu menghidap hidrosefalus selain sel darah putih yang berlebihan dalam otak.

Mahamad Sukri bersama anak bongsu dan isterinya ketika ditemui One Hope Charity.

“Kini otak dan sel darah putih sudah terkawal, namun kesihatannya semakin merosot disebabkan pembedahan jantung yang tertangguh sejak sekian lama.

“Pembedahan perlu dilakukan secepat mungkin dan kosnya berjumlah RM120,000 membuatkan saya dan isteri tidak mampu menanggungnya.

“Saya hanya bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan bulanan RM1,000 manakala isterinya pula suri rumah susulan dia juga mempunyai sakit jantung,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Mahamad Sukri, mereka juga mempunyai tiga lagi tanggungan anak berusia lingkungan 10 hingga 11 tahun sekali gus membuatkan mereka buntu untuk menanggung kos pembedahan Muhammad Hanif.

“Susulan itu, kami meminta bantuan daripada daripada pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) bagi mengumpul dana kos pembedahan Muhammad Hanif,” katanya yang menetap di Kedah.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pembedahan jantung Muhammad Hanif perlu dilakukan di hospital pakar swasta susulan kesihatannya semakin merosot.

“Pihak keluarga memberi kebenaran kepada kami untuk mengumpul kos perubatan dari orang awam berjumlah RM120,000 sekali gus menguruskan rawatan anak mereka,” kata beliau.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3193433435 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

Orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette