Pemangku Raja Pahang menyampaikan hadiah kepada penerima dalam Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan Al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2021 di Kuantan.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah mahu semua pusat institusi tahfiz di negeri ini melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi.

Titah baginda, usaha itu penting dalam menyedia dan melahirkan bakal pemimpin negara pada masa hadapan.

“Satu berita gembira, khususnya bagi mereka yang mengimpikan anak-anak menjadi seorang huffaz, kini di Maahad Tahfiz Negeri Pahang turut menawarkan peluang pendidikan tahfiz, di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah.

“Selain mendalami ilmu al-Quran, mereka turut didedahkan dengan akademik aliran perdana, termasuklah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan Al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2021 di Kuantan, hari ini.

Majlis ini turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda juga mahu model pembangunan Maahad Tahfiz negeri ini dapat dijadikan tanda aras  bagi mencorakkan masa hadapan institusi tahfiz al-Quran di Malaysia.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada 100 buah pusat tahfiz persendirian dan swasta, yang telah dibangunkan di negeri ini.

Bagaimanapun, baginda tidak mahu berbangga dengan bilangan pusat tahfiz yang banyak, tapi pengurusannya lemah seperti asramanya usang, atapnya bocor, kebajikan pelajarnya tidak terjaga.

“Justeru, pembukaan pusat tahfiz yang baharu mestilah disemak dengan teliti, manakala, pusat tahfiz yang sedia ada juga perlu sentiasa di-periksa, demi kebaikan semua pihak.

“Janganlah sehingga, pembukaan pusat-pusat tahfiz yang baharu nanti, dibuat bagai gulai sedap, nasi mentah, nasi sedap, gulai pula mentah.

“Kata hikmat orang tua Melayu ini, amat sesuai kita jadikan teladan dan iktibar, buatlah sesuatu perkara itu bersungguh– sungguh, dan siapnya dengan sempurna,” titahnya. – MalaysiaGazette