Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Majlis Pelancaran Common Ground Iskandar Space di Bandar Medini, iskandar Puteri, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 10 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Hasni Mohammad tidak mahu pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) seawal 1 Mac ini membebankan rakyat.

Menteri Besar Johor itu berkata, kerajaan negeri menyokong hasrat untuk membenarkan rakyat pulang ke tanah air tanpa perlu menjalani kuarantin wajib, bagaimanapun ia tertakluk kepada persetujuan bersama antara kedua-dua negara.

“Kita tidak mahu susahkan rakyat atas sebab politik benarkan balik apabila mereka mahu pulang ke Singapura balik isu lama pula timbul.

“Kos kuarantin mahal perlu ditanggung dan saya tidak fikir bahawa kerajaan melainkan saya tidak fikir bahawa melainkan kerajaan mengambil keputusan untuk sedia membayar kos sekiranya balik semula, tetapi itu persetujuan antara dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian pelancaran common Ground Iskandar Space di iskandar Puteri di sini hari ini.

Kata Hasni, setakat ini kerajaan membenarkan kira-kira 700 pengembara sehala menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL). – MalaysiaGazette