Aktiviti seperti joging antara yang dibenarkan selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari pertama bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2020

ARISTOTLE, ahli falsafah Yunani yang ternama berkata, “Memang menjadi fitrah manusia untuk hidup bermasyarakat”. Maka tidak dapat dinafikan bahawa sedikit sebanyak rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat terkesan dengan keterasingan sosial yang timbul daripada kesan pandemik

Tinjau Selidik ‘Kesejahteraan Bermula Dari Rumah’ (Wellness Begins at Home) Gardenia yang dikendalikan bersama Cilisos Media mendapati bahawa walaupun sesetengah rakyat Malaysia pada mulanya gembira dapat duduk di rumah pada PKP pertama, lebih daripada 30% responden kemudiannya berasa semakin tertekan apabila PKP yang berminggu-minggu telah berlarutan hingga menjadi berbulan-bulan. Tambahan lagi, 30% responden berkata mereka tidak keluar dari rumah dalam tempoh hampir dua minggu semasa PKP. Hakikat ini telah membawa kesan negatif terhadap kebersihan peribadi dan amalan pemakanan:

· 11.8% mengaku tidak mandi, menukar baju atau memberus gigi selama tiga hari secara berturut-turut;

· 63% berkata mereka makan apa sahaja yang diingini tanpa mengira waktu manakala, 26% responden makan lebih banyak serta 15.9% makan kerana tertekan, dan 37% mengalami kenaikan berat badan semasa PKP;

· 74.1% orang yang berkeluarga berkata mereka makan apa sahaja yang diingini tanpa mengira waktu dan masa menunjukkan bahawa tabiat ini mempunyai kesan yang tidak baik

Dalam kita bersiap sedia untuk kembali semula kepada rutin harian pasca pandemik, maka inilah masa yang paling sesuai untuk membuat perubahan positif dan azam baharu berkaitan dengan kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri. Mari kita kaji beberapa faktor utama seperti pengambilan diet, senaman dan gaya hidup.

Diet – Apa yang kita makan, mencerminkan siapa diri kita

Umum mengetahui bahawa Malaysia mempunyai kadar obesiti paling tinggi di kalangan golongan dewasa di Asia Tenggara. Dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, sebanyak 50.1% daripada orang dewasa di Malaysia dilaporkan mempunyai berat badan berlebihan atau mengalami masalah obesiti.

Menurut tinjauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kadar kelaziman diabetes di kalangan dewasa di Malaysia telah meningkat daripada 13.4% pada 2015 kepada 18.3% pada 2019. Hampir seorang daripada lima (5) rakyat Malaysia menghidapi diabetes! Bilangan kes pradiabetes juga melonjak daripada 8.8% pada 2015 kepada 23.6% pada 2019. Ini bermakna lebih 7.5 juta rakyat Malaysia menghadapi risiko menghidap diabetes dalam tempoh terdekat di masa akan datang.

Kita semua pernah mendengar tentang piramid makanan, yang pada asasnya merupakan panduan pengambilan makanan harian. Tetapi tahukah anda bahawa piramid makanan telah disemak semula pada tahun 2020 untuk mencerminkan perubahan dan corak pengambilan makanan kita? Semakan ini juga mengambil kira kadar peningkatan berkaitan dengan pengambilan diet serta penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan hipertensi, serta cadangan pengambilan nutrien terkini.

Piramid makanan yang terkini telah dipaparkan di portal Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia:

i) menggalakkan pengambilan dua sajian buah-buahan dan lebih daripada tiga sajian sayur-sayuran sehari, dan hanya tiga hingga lima sajian karbohidrat;

ii) dan mengesyorkan seseorang minum enam hingga lapan gelas air sehari. Andaikan satu gelas ialah 250ml, ini bermakna kita harus minum 1.5 liter hingga 2 liter air sehari.

Hanya 8.6% daripada responden Tinjau Selidik ‘Kesejahteraan Bermula Dari Rumah’ Gardenia berkata mereka mengamalkan pemakanan yang seimbang semasa PKP.

Senaman – Tanpa Usaha, tiada hasil

Kajian daripada universiti-universiti terkenal mendapati bahawa amalan berjalan kaki selama 20 minit sehari boleh mengurangkan risiko sakit jantung sebanyak 30%, dan berjalan kaki selama 30 minit sehari boleh meningkatkan kecergasan kardiovaskular, menguatkan tulang, mengurangkan lebihan lemak badan dan meningkatkan tenaga dan daya tahan otot. Ia juga boleh mengurangkan risiko mengalami penyakit seperti sakit jantung, diabetes jenis 2, osteoporosis, dan kanser tertentu.

Walaupun perkara ini bukan sesuatu yang baharu, senaman sememangnya baik untuk kesihatan fizikal dan mental. Mungkin ada yang beranggapan bahawa masa yang diluangkan di rumah semasa PKP, akan menyebabkan lebih ramai orang bersenam. Tetapi sebenarnya ini tidak berlaku. Seramai 59.5% daripada Tinjau Selidik Kesejahteraan Bermula Dari Rumah Gardenia mengakui bahawa mereka tidak bersenam semasa PKP.

Memang akan ada sahaja alasan untuk tidak melakukan senaman, seperti tiada masa, tiada peralatan atau gimnasium ditutup. Tetapi sebenarnya berjalan kaki dan meregangkan badan juga adalah bentuk senaman terbaik dan sesiapa sahaja boleh turut terlibat dan boleh dilakukan secara percuma.

Tetapi satu perkembangan positif ialah walaupun bilangan rakyat Malaysia yang bersenam semasa PKP lebih rendah, mereka yang bersenam melakukannya dengan lebih kerap, dengan peningkatan 14.5% dalam kekerapan bersenam, dengan 23 sesi senaman tambahan sepanjang tempoh satu tahun. Syabas!

Memanjakan diri

Ada beberapa masalah yang kita sering dengar yang dialami oleh ramai orang sepanjang pandemik antaranya, ‘bosan terperuk dalam rumah’ dan ‘kelesuan pandemik’. Kita mungkin masih merasai kesannya dan menjadi keperluan buat kita untuk meluangkan ‘masa untuk diri sendiri’ Memanjakan diri sendiri mempunyai maksud berbeza untuk setiap orang. Ada yang suka melakukan senaman yoga, ada yang bersantai di spa atau salon kuku. Bagi yang lain pula mereka lebih suka mengisi masa terluang dengan bersantai sambil menjamu selera bersama rakan-rakan, atau beristirahat sambil minum kopi dan membaca buku. Tidak kira apa yang anda lakukan, yang penting ialah meluangkan masa untuk diri sendiri.

Perkara ini bukan sahaja dilakukan hanya sesekali tetapi. cuba luangkan masa sejam dalam sehari untuk diri sendiri. Masa ini boleh digunakan untuk bertafakur, berkebun, membaca komentar diTwitter mahupun bermain permainan video, dan sekiranya ia membantu mengurangkan tekanan dan bebanan. Walaupun hanya dengan berbaring di atas katil sambil merehatkan minda juga dapat memulihkan tenaga anda!

Rumusan – bersederhana dalam segalanya

Kami tahu anda pernah mendengar semua nasihat ini. Jadi mengapa kita tidak mengamalkan langkah-langkah mudah ini demi meningkatkan kesejahteraan diri? Kita semua perlu menjaga diri kita sendiri. Pandemik ini telah menyerlahkan beberapa perkara membimbangkan tentang rakyat Malaysia. Pertama sekali, sebilangan besar rakyat Malaysia tidak sedar bahawa mereka mempunyai masalah kesihatan asas. Ramai yang mengambil sikap tidak acuh dan tidak peduli tentang tahap kesihatan mereka dan Tinjauan NHMS 2019 mendapati bahawa 49% daripada orang yang menghidap diabetes tidak pernah diperiksa atau disahkan menghidap penyakit kronik.

Jika kita mahu menjalani kehidupan terbaik, kita harus menjaga diri dengan lebih baik. Ini bermakna membina tahap imunisasi semula jadi yang boleh dilakukan menerusi diet, senaman dan perubahan gaya hidup. Malah hubungan antara diet dan senaman untuk membina kecergasan ialah 70% diet dan 30% senaman. Tetapi anda mungkin berkata, “Malaysia ialah syurga makanan” dan sememangnya tidak dapat dinafikan. Jika kita mahu terus hidup secara sihat, kita harus mengambil segala langkah yang diperlukan secara bersederhana.

Gardenia KL akan terus memberikan sokongan yang padu kepada usaha negara untuk terus pulih daripada pandemik COVID-19. Sempena Minggu Kesihatan Mental Sedunia 2021, hasil penemuan daripada Tinjau Selidik ‘Kesejahteraan Bermula Dari Rumah’ telah dibincangkan dalam forum secara langsung menerusi akaun Facebook @GardeniaKL bersama para aktivis kesihatan mental; Aktivis Selebriti Kesihatan Mental dan Penaung MIASA, Che Puan Sarimah Ibrahim; Aktivis Kesihatan Mental dan Presiden dan Pengasas MIASA, Anita Abu Bakar, dan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun. Perbincangan terbabit meliputi kesan pandemik terhadap rakyat Malaysia, petua gaya hidup lebih sihat dan banyak lagi.

Oleh: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd