Azalinullah Alias.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Terengganu FC, Azalinullah Alias tidak mahu mimpi ngeri berulang pada musim ini apabila ingin bebas daripada kecederaan bagi mendapatkan kembali momentum di pentas Liga Super.

Tiga kali berdepan kecederaan ACL sudah cukup perit buat pemain berusia 26 tahun ini dan tidak dapat membayangkan sekiranya kecederaan itu kembali menghantui pada musim ini.

Mengakui ia bukan mudah untuk kembali cergas dalam satu masa yang singkat, namun percaya prestasinya akan kembali pulih sekiranya terus diberi peluang untuk beraksi sebaik sahaja sepak mula pada 4 Mac depan.

“Saya sebenarnya dah mula masuk padang berlatih sejak Piala Malaysia pada musim lepas, cuma tidak diberi peluang bermain sahaja.

“Jadi, daripada situ saya cuba untuk mendapatkan balik kecergasan yang terbaik sebab dah satu musim tidak bermain.

“Cuma selain saya ingin rebut tempat, yang menjadi keutamaan adalah saya tidak mahu cedera teruk seperti itu lagi.

“Cukuplah tiga kali saya berdepan ACL, kalau nak kena kali keempat lagi, tak tahu la nak buat macam mana dah, memang rugi apabila satu musim tidak dapat bermain”, jelasnya.

Dalam masa sama, Azalinullah tidak menolak Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru yang sedang berlangsung ketika ini sedikit sebanyak membantunya untuk menilai kemampuan selepas sekian lama tidak berdepan aksi kompetitif.

Apatah lagi kejohanan ini turut membabitkan lawan daripada pasukan Liga Super iaitu Sri Pahang FC dan Penang FC.

“Sebelum ini kalau perlawanan persahabatan, banyak lawan pasukan Terengganu FC II, dan lawan dari Liga M3.

“Ini kali pertama saya masuk bermain menentang pasukan yang setanding kita dan memang banyak membantu potensi saya.

“Dengan persiapan yang kita lakukan ini termasuklah dengan beberapa aksi persahabatan, saya percaya ia cukup untuk meningkatkan tahap kecergasan saya sebelum beraksi di perlawanan sebenar”, tambahnya.

Kali pertama dia berdepan kecederaan ACL adalah pada tahun 2015 ketika bersama Harimau Muda C dan seterusnya kecederaan kembali berulang pada musim 2019 sebelum terpaksa melupakan saingan Liga Super 2021 ekoran kecederaan sama. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast