Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Purata inflasi keseluruhan tahun ini dijangka kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api luput.

Inflasi teras dijangka meningkat sedikit apabila kegiatan ekonomi kembali normal berikutan persekitaran kos input yang tinggi.

Namun begitu, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko inflasi menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti dalam ekonomi dan pasaran pekerja.

Walau bagaimanapun, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah berkata, prospek ini terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.

Dalam pada itu, ekonomi dalam negeri pada tahun ini dijangka terus berada pada landasan pemulihan disokong oleh permintaan global yang terus berkembang dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi berikutan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan.
Penerusan projek pelaburan besar dalam sektor swasta dan sektor awam juga akan terus menyokong pertumbuhan.

Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat daripada kegiatan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang berkembang.

Program pemberian vaksin penggalak dan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur lima tahun ke atas yang dipercepat, seiring dengan kapasiti sistem penjagaan kesihatan yang mencukupi, akan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi dalam negeri, lantas mengukuhkan momentum pemulihan”.

Namun, imbangan risiko terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh perkembangan berhubung dengan Covid-19 pada peringkat global dan dalam negeri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast