Skuad kebangsaan Indonesia bawah 23 (B23) tahun hari ini telah menarik diri kejohanan Piala AFF B23 2022.

KUALA LUMPUR – Skuad kebangsaan Indonesia bawah 23 tahun (B23), hari ini dilaporkan telah menarik diri kejohanan Piala AFF B23 2022 selepas tujuh pemain mereka disahkan positif Covid-19.

Menurut kemaskini dari laman web rasmi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), senarai pemain yang didapati positif pandemik itu adalah Ronaldo Kwateh, Muhammad Ferrari, Braif Fatari, Taufik Hidayat, Irfan Jauhari, Ahmad Figo dan Cahya Supriadi.

Selain pemain itu, skuad itu juga memiliki empat lagi pemain yang sedang menjalani kuarantin kendiri selepas rakan sebilik mereka disahkan positif iaitu Alfeandra Dewan, Genta Alparedo, Muhammad Kanu Helmiawan dan Marcelino Ferdinan

Sementara itu, tiga lagi pemain Gunansar Mandowen, Ramai Rumakiek dan Muhammad Iqbal masih mengalami kecederaan.

Berdasarkan perkembangan terkini, Ketua Jurulatih Shin Tae-yong telah mengusulkan untuk membatalkan penyertaan dengan menulis surat rasmi mengenai perkara itu.

PSSI juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi dan selepas keputusan ujian PCR dikeluarkan serta mengumumkan untuk menarik diri dari kejohanan Piala AFF B23 2022 di Kemboja.

Dengan penarikan diri pasukan Indonesia, saingan kumpulan B hanya akan mempunyai tiga pasukan sahaja iaitu Malaysia, Myanmar dan Laos dengan perlawanan pertama akan bermula pada 15 Februari ini.

Kelmarin, Malaysia kendalian Brad Maloney telah memanggil semula empat tonggak utama yang tidak disenaraikan untuk ke Kemboja sebelum ini bagi menguatkan pasukan. – MalaysiaGazette