Wakil pembeli, Mohd Ismail mendakwa projek kediaman yang dilaksanakan Felda itu kini tiada sebarang perkembangan positif di Felda Papan Timur, Kota Tinggi, Johor.

KOTA TINGGI – Generasi kedua peneroka Felda Papan Timur di sini menuntut kerajaan meneruskan pembinaan sebanyak 539 buah rumah terbengkalai sejak 10 tahun lalu.

Projek yang sepatutnya siap 2013 itu kini terbiar dan dipenuhi semak samun dan lebih membimbangkan menjadi lokasi penagihan dadah.

Wakil pembeli, Mohd Ismail Roso, 46, memberitahu, projek kediaman yang dilaksanakan Felda itu kini tiada sebarang perkembangan positif.

“Sebagai generasi pelapis Felda, kami dijanjikan rumah berkenaan akan siap pada tahun 2013 lalu dengan setiap satu unit kediaman itu dijual harga RM100,000.

“Tetapi disebabkan projek itu masih tertangguh sehingga kini, kami tiada pilihan selain terpaksa menyewa atau terus tinggal bersama ibu bapa,” kata­nya yang bekerja sendiri ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Mohd. Ismail, dia dimaklumkan punca kelewatan projek tersebut bukan daripada pihak Felda sebaliknya daripada pemaju yang diberi kepercayaan membina perumahan tersebut.

“Selain mahu kepastian tentang tarikh projek berkenaan akan disiapkan, kami juga mahu tahu siapa pembeli yang layak kerana rumah itu bukan diberi percuma sebaliknya akan dibeli,” ujarnya.

Projek perumahan setingkat itu dimaklumkan sudah habis ditempah oleh generasi kedua peneroka di Felda berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi generasi kedua Felda berkenaan, Rospalida Roso, 43, pula memberitahu, dia sekeluarga terpaksa menyewa rumah dengan bayaran RM700 sebulan.

Rospalida Roso

“Kami tidak lagi tinggal bersama ibu bapa kerana sudah mempunyai empat anak, jadi kami perlu menyewa.

“Kami telah lama mengharap­kan kediaman sendiri tetapi setelah hampir 10 tahun kami masih lagi menyewa.

“Jadi kami berharap sangat mana-mana pihak dapat bantu untuk selesaikan masalah kami,” jelasnya yang bekerja sebagai pembantu kedai.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kami Anak Felda Sungai Mas, Mohd. Faizal Asmar akan cuba membawakan permasalahan itu kepada pihak berwajib.

Mohd. Faizal

Katanya, isu ini telah lama membelenggu generasi kedua Felda tersebut dan berharap ia dapat diselesaikan segera. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast