Christopher Patit

MELAKA – Perasaan cemburu suami terhadap isterinya yang dipercayai berkawan dengan seorang lelaki lain didakwa menjadi punca pertengkaran sehingga bayi mereka berusia empat bulan terkena curahan minyak panas semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, akibatnya bayi perempuan itu terpaksa dikejar ke Hospital Melaka selepas melecur di kaki kiri.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang di Semabok Dalam, Semabok, di sini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila si suami berusia 24 tahun mendapat tahu isterinya berusia 22 tahun berkawan dengan seorang lelaki lain.

“Si suami kemudian dikatakan cuba meminta penjelasan daripada isterinya yang ketika itu sedang memasak di dapur.

“Namun secara tiba-tiba si suami didakwa memarahi isterinya sebelum menepis minyak panas dari kuali di atas dapur.

“Akibatnya minyak panas dari kuali kemudian tercurah ke kaki kiri bayi perempuannya berusia empat bulan itu menyebabkannya melecur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, percikan minyak juga dikatakan turut terkena pada isterinya.

Susulan itu, Christopher berkata, polis telah menahan bapa bayi berkenaan untuk siasatan lanjut selepas menerima maklumat awam mengenai insiden berkenaan pada jam 5.50 petang.

“Suspek turut mengakui bayinya terkena minyak panas dan telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Kejadian berkenaan dikongsi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem di laman Facebooknya semalam.

Dalam catatannya itu, beliau memaklumkan menerima maklumat berkenaan daripada rakannya dan kecewa kerana tindakan di luar batasan si suami menyebabkan anaknya menjadi mangsa. – MalaysiaGazette